Saturday, April 20, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Walkaton, pameran meriahkan Hari Strok sedunia

    Oleh Syahmi Hassan
    Gambar serahan Syahmi Hassan & Bahiyah Bakir

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 NOV – Pantai Jerudong Specialist Centre (PJSC) hari ini memperingati Hari Strok Sedunia pada majlis pelancarannya yang diselajurkan dengan Walk-A-Mile Walkathon dan pameran di Open Plaza, Kompleks Yayasan, di ibu negara.

    Menteri Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohamad Isham bin Haji Jaafar yang juga Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah PJSC bersama-sama Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohammad telah melancarkan sambutan dan walkaton berkenaan.

    Turut hadir Pengarah Eksekutif PJSC, Dr Haji Mazrul Adimin bin Haji Awang Besar, setiausaha-setiausaha tetap, timbalan-timbalan setiausaha tetap, pihak pengurusan kanan PJSC kakitangan PJSC dan orang awam. Pengarah Pusat Strok dan Pemulihan Neurosains Brunei (BNSRC), PJSC, Pengiran Dr Hajah Siti Nur’Ashikin binti Pengiran Dato Paduka Haji Tengah dalam ucapan alu-aluannya antara lain menyentuh mengenai tiga mesej utama yang terdapat dalam Hari Strok Sedunia.

    “Pertama, pencegahan adalah kunci. Kita mengenali bahawa lapan daripada 10 strok boleh dicegah melalui gaya hidup sihat termasuk senaman yang kerap, pemakanan yang sihat, berhenti merokok dan pengawalan risiko-risiko penyakit-penyakit tidak berjangkit ataupun NCD seperti tekanan darah tinggi, kencing manis, kolesterol tinggi,” jelasnya.

    Menurut Pengiran Dr Hajah Siti Nur’Ashikin, strok juga sangat berkait rapat dengan keadaan jantung yang boleh menjejaskan peredaran darah ke otak. Kesedaran dan amalan pencegahan haruslah terus ditingkatkan di seluruh lapisan rakyat sebagai tindakan yang paling berkesan dan ia adalah tanggungjawab semua.

    Yang Berhormat Menteri Kesihatan dan Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan melawat ke gerai-gerai pameran sejurus selepas selesainya Walk-A-Mile Walkathon.
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi dan Pengiran Dr Hajah Siti Nur’Ashikin melakukan aktiviti bersama peserta semasa majlis berkenaan.
    Antara peserta yang mengikuti aktiviti semasa majlis berkenaan.

    Adalah sangat penting bagi seseorang yang mengalami simptom strok untuk datang ke hospital secepat mungkin, tambahnya.

    “Gejala strok mudah diingati melalui akronim-akronim seperti PANTAS ataupun BE FAST untuk mengenal pasti kemungkinan strok melalui kemerosotan keseimbangan, mata, wajah, lengan atau pertuturan.

    Pengiran Dr Hajah Siti Nur ’Ashikin mengongsikan bahawa di BNSRC, kira-kira 400 kes baharu strok dirawat setiap tahun. Statistik dari Jun 2021 hingga ke Mei 2022 menunjukkan bahawa 31 orang pesakit telah menerima rawatan thrombolysis ataupun ubat untuk memecahkan darah beku di aliran darah di otak.

    “Satu kaedah baharu iaitu thrombectomy telah mula ditawarkan untuk sebahagian daripada kes strok di Negara Brunei Darussalam pada tahun 2018 iaitu rawatan untuk menyedut keluar darah beku daripada saluran darah yang tersumbat.

    Menurut beliau, apa yang mendukacitakan adalah beberapa pesakit tidak hadir ke hospital dalam tempoh yang membolehkan rawatan-rawatan yang diperlukan. Kajian telah menunjukkan bahawa kurang dari 20 peratus pesakit strok menghadirkan diri ke hospital dalam masa 4.5 jam yang diperlukan untuk thrombolysis.

    Oleh itu, tema sambutan Hari Strok Sedunia pada tahun ini Minit Boleh Menyelamatkan Nyawa dengan hashtag #MASABERHARGA atau #PRECIOUSTIME memberikan penekanan kepada mengenal pasti awal gejala strok, dan mendapatkan bantuan perubatan dengan segera.

    Beliau turut mengongsikan bahawa kita mesti bersama-sama memberikan harapan dan sokongan kepada pejuang strok dan keluarga mereka.

    “Kita harus menyasarkan kehidupan yang bermakna bagi mereka dan keluarga mereka dalam komuniti kita dan tidak mengasingkan mereka. Terdapat banyak kisah inspirasi pejuang strok termasuk yang di dalam lingkungan usia bekerja yang mana di Negara Brunei Darussalam 65 peratus pesakit strok adalah di bawah usia 60 tahun berbanding 38 peratus di United Kingdom,” jelasnya.

    Hari Strok Sedunia disambut pada 29 Oktober setiap tahun untuk meningkatkan kesedaran dan mendidik orang ramai mengenai strok.

    Tema tahun ini adalah masa berharga yang menekankan lagi keperluan untuk memendekkan masa antara serangan strok dan pemberian rawatan perubatan kecemasan.

    Acara hari ini telah melibatkan orang ramai dan berusaha untuk menyemai mesej masa yang berharga melalui aktiviti seperti Walk-A-Mile Walkathon, iaitu berjalan-jalan di sekitar Bandar Seri Begawan melintasi Taman Mahkota Jubli Emas dan cabaran pusat pemeriksaan, yang direka untuk meniru kesukaran pesakit strok dengan soalan trivia dengan perubahan untuk memenangi hadiah yang menakjubkan dalam lucky dip.

    Pameran strok telah mempamerkan pelbagai jabatan yang terlibat dalam rawatan dan penjagaan pesakit strok dan gerai pameran termasuk gerai penaja.

    Antara penajanya ialah Jerudong Park Medical Centre (JPMC), Sehat Water IBIC Sdn Bhd, Ben Foods (B) Sdn Bhd, dan Pusat Kesihatan dan Kecergasan Victorious.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...