BENTONVILLE, 16 MEI – Walmart, peruncit terbesar dunia, berkata ia tidak mewajibkan pembeli-belah atau pekerja yang sudah menerima vaksin untuk memakai penutup mulut dan hidung di kedainya di Amerika Syarikat (AS) melainkan undang-undang negeri berkata sebaliknya.
Pembeli-belah yang sudah menerima vaksin boleh membeli-belah tanpa memakai penutup mulut dan hidung, kata syarikat. Pekerja yang sudah divaksinkan boleh berhenti memakainya mulai Selasa. Sebagai satu insentif, Walmart berkata ia menawarkan pekerja AS$75 jika mereka membuktikan mereka telah pun menerima suntikan vaksin.
Pelanggan tidak akan ditanya sebaliknya diberikan ‘sistem penghormatan mengenai status vaksinasi mereka, menurut Walmart.
Bagaimanapun, pekerja perlu menjawab ‘ya’ kepada soalan vaksinasi dalam penilaian kesihatan harian untuk membolehkan mereka bekerja tanpa memakai penutup mulut dan hidung, kata syarikat dalam memo kepada pekerja yang disiarkan di laman web korporatnya.
“Integriti merupakan salah satu nilai teras kami, dan kami percaya rakan sekutu akan menghormati prinsip tersebut apabila memberikan jawapan,” kata memo. Untuk mendapatkan bonus, pekerja perlu menunjukkan sijil vaksinasi asal mereka.
Syarikat yang berpangkalan di Bentonville, Arkansas, berkata ia menawarkan vaksin di lebih daripada 5,100 farmasi Walmart dan Sam’s Club, dan menerusi acara khas.
Walmart ialah majikan terbesar negara dengan kira-kira 1.5 juta pekerja di AS termasuk di Sam’s Club, pusat pengagihan dan dalam jawatan korporat dan pengurusan. – AP
