Walmart, Microsoft bergabung beli TikTok

SAN FRANCISCO, 28 OGOS – Syarikat gergasi runcit Amerika Syarikat (AS) Walmart berkata semalam ia telah bergabung dengan Microsoft untuk membeli TikTok, aplikasi video milik China yang telah dikecam oleh pentadbiran Presiden Donald Trump.

Aplikasi itu berada di tengah-tengah perbalahan diplomatik di antara Washington dan Beijing sejak Trump menandatangani satu perintah eksekutif pada 6 Ogos memberikan warga Amerika 45 hari untuk berhenti berurusan dengan syarikat induk ByteDance.

Presiden mendakwa TikTok boleh digunakan oleh China untuk menjejaki lokasi pekerja persekutuan, membina dosier untuk orang memeras ugut dan menjalankan pengintipan korporat.

Perintah itu menetapkan tarikh akhir untuk penjualan TikTok kepada sebuah syarikat AS, dengan Trump menegaskan AS harus menerima satu bahagian atas peranannya dalam menjayakan perjanjian tersebut.

“Kami yakin perkongsian Walmart dan Microsoft akan memenuhi jangkaan pengguna TikTok AS sementara mengatasi kebimbangan pengawal selia kerajaan AS,” beritahu firma peruncit kepada AFP.

Walmart mungkin berminat dalam TikTok dalam membantunya berhubung dengan pembeli-belah lebih muda yang beralih kepada internet untuk trend gaya hidup, menurut penganalisis. Orang muda kurang cenderung membeli-belah di Walmart, sama ada dalam talian atau kedai fizikal, menurut pengarah urusan GlobalData Retail, Neil Sanders.

“Platform sosial seperti TikTok akan memberikan Walmart akses senang kepada penonton yang ingin disasarnya,” menurut Saunders. – AFP

Logo TikTok kelihatan di luar pejabat TikTok di bandar Culver, California pada 27 Ogos 2020. – AFP