Walmart saman kerajaan AS

NEW YORK, 23 OKT – Syarikat runcit, Walmart memfailkan tindakan guaman semalam ke atas Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (AS) berhubung apa yang dikatakannya merupakan percubaan tidak adil untuk menyalahkan pihaknya atas beberapa jualan ubat opioid.

Tindakan guaman itu merupakan pergelutan perundangan terbaharu yang dikaitkan dengan krisis opioid di AS, di mana penyalahgunaan meluas telah mendorong kerajaan berusaha mengambil langkah untuk mengatasi masalah itu. Dalam tindakan guaman yang dikemukakan di mahkamah persekutuan di Texas, peruncit AS itu berkata ahli farmasi dan farmasi diletakkan dalam ‘kedudukan yang tidak dapat dipertahankan’ oleh kerajaan.

Tindakan itu, yang juga menamakan Pentadbiran Penguatkuasaan Ubat AS (DEA), berkata Walmart bertindak terlebih dahulu untuk menangkis tindakan guaman awam berasingan yang bakal difailkan oleh Jabatan Keadilan.

Walmart berkata undang-undang dan peraturan kerajaan adalah tidak jelas dan ahli farmasi tidak dapat dijangka mengetahuinya apabila preskripsi yang ditulis oleh doktor berlesen tidak harus dipenuhi.

“Walmart dan ahli farmasinya tidak harus bertanggungjawab atas kegagalan kerajaan untuk mengatasi krisis opioid,” kata tindakan guaman itu. – AFP