Tuesday, February 18, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Wanda jual aset kepada Sunac

    SHANGHAI, 10 Julai – Konglomerat China Wanda berkata hari ini ia akan menjual berpuluh hotel dan projek lain kepada pemaju Sunac China Holdings dalam satu perjanjian bernilai AS$9.3 bilion untuk mengurangkan hutang, dua minggu selepas mengakui ia berada di bawah pengawasan kewangan kerajaan selepas pelaburan yang banyak di luar negara.

    Wanda, dipimpin oleh salah seorang lelaki terkaya China, Wang Jianlin, telah menjadi salah sebuah syarikat yang paling banyak memperoleh harta dalam aliran wang China di luar negara yang menimbulkan kebimbangan berhubung pelaburan yang ‘tidak rasional.’

    Dalam satu kenyataan bersama, kedua-dua syarikat berkata Sunac akan membeli 76 hotel, tanpa menyatakan harta yang mana satu. Sunac juga akan memperoleh 91 peratus saham dalam 13 ‘projek kebudayaan dan pelancongan’ di China.

    Wang memberikan alasan dalam satu temu bual dengan majalah kewangan Caixin, berkata selepas penjualan jumlah hutang yang dipegang oleh cawangan harta tanah komersial kumpulan Wanda Commercial Properties akan ‘berkurangan mendadak.’

    Beliau tidak memberikan jumlah keseluruhan untuk hutang syarikat.

    “Wang yang dipulangkan daripada urus niaga ini akan digunakan untuk membayar balik hutang. Wanda Commercial merancang membayar balik majoriti pinjaman bank pada tahun ini,” beliau dipetik sebagai berkata.

    Urus niaga itu memaparkan kebingungan yang sedang dihadapi oleh syarikat China yang mempertaruh besar ke atas pemerolehan luar negara tetapi kini menghadapi kesukaran membayar hutang.

    Beijing pada tahun lalu mula mengeluarkan sekatan untuk mengawal aliran modal ke luar negara, yang dikatakan oleh penganalisis menambah kos pembiayaan kepada syarikat seperti Wanda tatkala pinjaman kepada mereka tidak dianggap sebagai lebih berisiko disebabkan sekatan yang dihadapi oleh mereka.

    Wang mengaku dua minggu lalu bahawa pengatur perbankan China telah mengarahkan satu pemeriksaan ke atas pinjaman berisiko kepada syarikat besar China yang telah melabur secara agresif di luar negara. Ia berkata syarikat domestik lain yang terbabit dalam kajian semula termasuk Rossoneri Sport Investment Lux, satu konsortium yang baru-baru ini membeli kelab bola sepak Itali AC Milan, pemilik Club Med Kumpulan Fosun, dan Kumpulan HNA. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda