Wang palsu jadi ‘belanja hangus’

5-tahunBANDAR SERI BEGAWAN, 5 Januari 2012 – Kegembiraan seorang ibu tunggal menerima menantu baru bertukar menjadi satu peristiwa pahit apabila mendapati wang hantaran ‘belanja hangus’ yang diterimanya adalah kepingan wang kertas cetakan warna sahaja.

Puan Juli (bukan nama sebenar) ketika mendedahkan perkara itu kepada Media Permata berkata, beliau tidak menyangka sama sekali perkara begini boleh berlaku, apatah lagi urusan perkahwinan anak perempuannya dibuat secara teratur mengikut adat sepenuhnya.

Menurut Puan Juli, majlis perkahwinan anak perempuannya itu diadakan secara serentak dengan majlis menghantar tanda tunang dan akad nikah pada 1 Januari lalu.

Katanya, setelah menerima barangan hantaran dan wang ‘belanja hangus’ sebelum akad nikah berlangsung, beliau membawa barangan yang diterima bagi pihak anak perempuan ke dalam bilik untuk diperiksa.

Bagaimanapun, beliau tergamam setelah membuka bingkai kayu tempat letaknya wang ‘belanja hangus’ dan mendapati duit yang terdapat di dalam bingkai gambar itu adalah palsu.

Beliau segera memanggil bekas suaminya (yang hadir selaku wali pernikahan) dan meminta untuk menghentikan pernikahan itu, namun bekas suaminya menegaskan untuk meneruskan pernikahan itu kerana jika keputusan dibuat tanpa usul periksa akan mengundang aib kepada keluarga.

Bekas suaminya meminta supaya perbincangan dibuat selepas pernikahan selesai, namun Puan Juli berkeas untuk menuntut hak anaknya sebagai isteri kerana baginya ia adalah maruah dan adat resam yang sememangnya dipersetujui bersama oleh kedua belah keluarga.

Sejurus selepas akad nikah selesai, mereka berhimpun sekeluarga di mana menantu barunya itu, Joe (bukan nama sebenar) melahirkan rasa terkilan dengan perlakuan ibu bapa kandungnya yang sanggup menyediakan ‘wang palsu’ untuk hantaran.

Menurut Puan Juli lagi, pada sebelah malamnya, Joe telah berjumpa dengan ibu bapanya dan mereka berjanji untuk menggantikan wang berkenaan dengan memberikan wang pendahuluan $1,000.

Puan Juli bertanyakan kepada menantunya itu kenapa besannya sanggup membuat perkara seperti itu dan menurut Joe, ibu bapanya berbuat demikian kerana mereka tidak mempunyai wang.

“Sekarang ia mengundang kesusahan kerana pihak perempuan yang juga perlu menyelesaikan banyak perbelanjaan seperti sewa khemah, makanan dan pelamin yang mencecah ribuan ringgit,” tambah Puan Juli.