Wednesday, April 24, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Wang sedekah untuk keluarga si mati: Dahulukan keperluan utama

    (Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

    Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

    Bersedekah adalah salah satu daripada apa yang disebut sebagai membelanjakan harta pada jalan Allah.

    Ini kerana tujuan seseorang bersedekah itu, sama ada dengan wang ringgit atau lainnya, adalah atas dasar mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

    Antara sedekah yang menjadi kebiasaan masyarakat Brunei adalah sedekah berbentuk wang ringgit yang dihulurkan kepada keluarga yang ditimpa musibah kematian.

    Melalui sedekah ini diharapkan sekurang-kurangnya dapat meringankan beban keluarga si mati dan dapat menghiburkan mereka dengan keprihatinan saudara mara, jiran dan sahabat handai ke atas mereka.

    Galakan menyediakan makanan kepada keluarga si mati

    Islam menggalakkan umatnya membantu meringankan bebanan orang yang ditimpa musibah. Contohnya dalam musibah kematian, sunat bagi jiran kepada keluarga si mati, kerabat yang jauh atau sesiapa yang mengenali mereka untuk menyediakan makanan bagi mereka, iaitu makanan yang mampu mengenyangkan mereka selama tempoh sehari semalam selepas kematian.

    Antara sedekah yang menjadi kebiasaan masyarakat Brunei adalah sedekah berbentuk wang ringgit yang dihulurkan kepada keluarga yang ditimpa musibah kematian.

    Tujuan digalakkan menyediakan makanan kepada keluarga si mati adalah untuk meringankan bebanan mereka di samping menunjukkan rasa simpati dan prihatin terhadap mereka.

    Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda ketika sampai kepada Baginda berita mengenai kematian Ja‘far bin Abu Thalib Radhiallahu ‘anhu yang maksudnya:

    “Kamu sediakan makanan untuk keluarga Ja‘far (yang meninggal itu). Sesungguhnya telah datang kepada mereka (keluarga Ja‘far) perkara (kematian Ja‘far) yang membebani mereka (mendatangkan kesedihan di hati mereka).” (Hadits riwayat Abu Daud)

    Di dalam hadits di atas terkandung pensyariatan mengadakan perbelanjaan makanan yang diperlukan keluarga si mati kerana kesibukan mereka dengan musibah yang menimpa.

    Sedekah berbentuk wang ringgit juga termasuk dalam bentuk bantuan yang dihulurkan kepada keluarga si mati.

    Ini kerana tujuan orang yang menghulurkan bantuan adalah untuk meringankan beban orang yang ditimpa musibah di samping mengharap keredhaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

    Bersedekah sama ada dalam bentuk wang ringgit atau lainnya adalah amalan yang dianjurkan oleh syara‘. Antara dalil yang menyebutkan anjuran bersedekah ini ialah:

    1 – Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya:

    “Dan apa jua harta yang kamu belanjakan (pada jalan Allah), maka (pahalanya) untuk diri kamu sendiri. Dan kamu tidak pula membelanjakan (sesuatu) melainkan kerana mengharapkan keredhaan Allah. Dan apa jua harta yang kamu belanjakan, akan disempurnakan (balasan pahalanya) kepada kamu. Dan kamu pula tidak dianiaya (tidak dikurangkan pahala).” (Surah al-Baqarah: 272)

    2 – Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:

    “Barangsiapa yang bersedekah dengan sesuatu yang sebanding dengan sebiji kurma yang diperolehinya daripada pekerjaan yang baik (halal), sedangkan Allah itu memang tidak suka menerima sesuatu melainkan yang diperolehi dari yang baik (halal), maka sedekah orang tersebut akan diterima oleh Allah dengan tangan kananNya (diterima dengan redha), kemudian Allah akan memelihara (menambah pahala sedekah) untuk orang yang bersedekah itu, sebagaimana salah seorang daripada kamu memelihara anak kuda, sehingga sedekah itu sebesar gunung.” (Hadits riwayat al-Bukhari)

    Dalam hadits di atas telah disebutkan ‘tangan kanan’. Ini sebagai tanda kemuliaan dan penghormatan Allah Subhanahu wa Ta‘ala kepada orang yang bersedekah.

    3 – Diriwayatkan daripada ‘Adiyy bin Hatim Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:

    “Barangsiapa yang sanggup mendinding dirinya dari api neraka walaupun dengan (bersedekah) sebelah kurma, maka hendaklah dia lakukan.” (Hadits riwayat Muslim)

    Hadits di atas merupakan dalil adanya galakan atau anjuran untuk bersedekah.

    Tiada halangan bagi seseorang untuk bersedekah walaupun sedikit kerana sedekah dengan kadar yang sedikit pun boleh menyebabkan seseorang itu berjaya dari tidak memasuki api neraka.

    Kedudukan wang sedekah yang dihulurkan kepada keluarga si mati

    Menghulurkan wang sedekah pada keluarga yang ditimpa kematian adalah salah satu budaya atau adat kebiasaan di Negara Brunei Darussalam.

    Wang sedekah yang dihulurkan itu menjadi milik orang yang diberi, iaitu keluarga si mati dan ia bukan menjadi milik si mati, bahkan ia tidak termasuk dalam harta pusaka si mati.

    Ini kerana tujuan sedekah itu dihulurkan adalah untuk membantu meringankan bebanan keluarga si mati atau sebagai tanda simpati kepada mereka atas kehilangan orang tersayang.

    Oleh itu, keluarga si mati boleh menggunakan wang tersebut untuk apa sahaja keperluan yang mereka kehendaki.

    Wang sedekah digunakan untuk yang keperluan utama

    Sungguhpun keluarga si mati boleh menggunakan wang sedekah yang dihulurkan kepada mereka, namun sebagai irsyad adalah wajar ia dibelanjakan pada perkara yang lebih utama.

    Antaranya perbelanjaan untuk keperluan keluarga seperti makan dan minum isteri, anak-anak atau ibu bapa yang ditinggalkan.

    Perbelanjaan pada keperluan ini adalah lebih menepati tujuan orang yang menghulurkan sedekah, iaitu untuk meringankan bebanan keluarga yang ditinggalkan, apalagi jika si mati merupakan tulang belakang keluarga, iaitu tempat ahli keluarga bergantung perbelanjaan hidup.

    Wang sedekah itu boleh juga digunakan untuk keperluan si mati sendiri seperti perbelanjaan pengurusan jenazah dan melangsaikan hutang piutang si mati apabila si mati tidak ada meninggalkan harta pusaka.

    Inilah juga antara maksud si pemberi dalam perkara mengurangkan bebanan keluarga yang ditimpa musibah.

    Khusus dalam perkara hutang-piutang si mati, sama ada hutangnya kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala seperti zakat, haji fardhu, pembayaran kaffarah, fidyah dan sebagainya, ataupun hutangnya kepada manusia seperti pinjaman wang, adalah menjadi kewajipan keluarga si mati untuk melunaskan hutang si mati melalui harta peninggalannya, bahkan sunat ia disegerakan bagi melepaskan bebanan si mati.

    Ini kerana roh orang yang berhutang itu tergantung-gantung sehinggalah hutangnya dilunaskan.

    Dalam perkara melunasi hutang ini, hutang kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala hendaklah didahulukan daripada hutang kepada manusia.

    Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:

    “(Roh) seorang mu’min itu tergantung-gantung (tertahan) dengan sebab hutangnya sehinggalah dibayar hutangnya.” (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

    ‘Tergantung-gantung atau tertahan’ dalam maksud hadits di atas bererti urusan si mati terhenti, iaitu dia tidak dihukumkan berjaya dan tidak juga dihukumkan berdosa atau binasa sehingga dilihat adakah telah diselesaikan hutangnya semasa hidupnya atau tidak.

    Daripada penerangan hadits di atas, adalah jelas bahawa hutang bukanlah suatu perkara kecil yang boleh diremehkan, tambahan lagi jika si mati tidak ada meninggalkan harta pusaka.

    Hutang tersebut akan tetap ditanggung oleh si penghutang kecuali jika pemiutang mengizinkannya, sama ada dengan permintaan ahli waris atau pemiutang sendiri yang meredhakannya.

    Bahkan sunat bagi wali si mati membayarkan hutang si mati apabila si mati tidak ada meninggalkan harta pusaka. Oleh yang demikian, dalam keadaan ini adalah wajar wang sedekah yang dihulurkan itu digunakan untuk melunaskan hutang si mati semata-mata untuk melepaskan bebanan yang ditanggung oleh si mati.

    Selain itu, wang sedekah yang dihulurkan itu boleh juga digunakan untuk bersedekah bagi pihak si mati.

    Ini kerana sedekah orang yang masih hidup adalah memberi manfa‘at kepada orang yang meninggal dunia.

    Diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma, bahawa seorang lelaki yang telah kematian ibunya bertanya kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

    “Adakah bermanfa‘at jika aku bersedekah bagi pihaknya?

    Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menjawab: Ya.

    Maka lelaki itu berkata: Sesungguhnya aku mempunyai sebuah kebun (yang pokok-pokoknya menghasilkan) buah, dan aku bersaksi dengan tuan, sesungguhnya aku telah menyedekahkannya bagi pihak ibuku.” (Hadits riwayat al-Bukhari)

    Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullah:

    “Sesungguhnya pahala sedekah sampai kepada si mati dan bermanfa‘at baginya tanpa perselisihan di kalangan orang Islam. Dan inilah yang betul.”

    Apa yang pasti, kebiasaan orang menghulurkan wang sedekah kepada keluarga yang ditimpa musibah kematian adalah suatu perbuatan yang terpuji yang diberikan ganjaran pahala oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

    Lebih-lebih lagi kebaikan dan kebajikan yang dilakukan pada bulan Ramadhan pasti akan dilipatgandakan pahalanya.

    Manakala wang sedekah yang dihulurkan itu sewajarnya hendaklah ia digunakan pada perkara yang lebih utama kerana ini lebih menepati niat atau tujuan si pemberi yang ingin membantu mereka.

    Artikel sebelum ini
    Artikel seterusnya
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sekumpulan gempa bumi gegarkan Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Sekumpulan gempa bumi melanda Taiwan pada awal hari ini, yang paling kuat mempunyai magnitud 6.1, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat...