Wang syiling lama unik

BANDAR SERI BEGAWAN, 2012 – Seorang lelaki berbangsa Cina tempatan telah berkongsi penemuan wang syiling lama yang ditemuinya di Kuching, Sarawak dahulu.

Lelaki itu yang tidak mahu namanya disiarkan berkata, sekitar tahun 1950an, beliau bersama sahabatnya gemar mengumpul dan bermain dengan wang syiling yang ditemui.

Setiap wang syiling disimpan ke dalam kotak tetapi satu keping wang syiling telah menarik perhatian beliau yang merupakan wang syiling bernilai satu sen. Reka bentuk wang syiling tersebut juga agak berbeza sekali.

Di permukaan depan wang syiling berkenaan tercatat ‘Sultanate of Brunei’ berserta tahun syiling tersebut dikeluarkan iaitu pada 1304.

Manakala di permukaan belakang syiling tersebut tercatat tulisan Jawi bersama reka bentuk bintang di tengah-tengahnya.

Katanya, wang syiling tersebut unik dan berkemungkinan pernah digunakan di Negara Brunei Darussalam pada satu ketika dahulu.

Berdasarkan berat wang syiling itu, ia cukup ringan berbanding dengan wang syiling sekarang. Perkara ini berkemungkinan ia diperbuat daripada bahan campuran logam yang berkualiti.

Beliau akan tetap menyimpan syiling tersebut dengan sebaik-baiknya sebagai satu kenangan yang sangat istimewa dan berharga.

Beliau juga tidak berhasrat untuk menjualnya walaupun nilai asalnya hanya satu sen sahaja.