Wani kongsi bukan sebab riak

Perkongsian penyanyi Wani Kayrie, 21, mengenai keputusan cemerlang dalam peperiksaan bukan mahu bersikap riak, sebaliknya membuktikan anak seni boleh berjaya dalam pelajaran.

Wani atau nama sebenarnya, Syazwani Abdullah berkata, dia tetap tidak membelakangkan pelajaran apabila berkongsi Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) yang baik dalam laman Instagram, biarpun sibuk dengan dengan kerjaya seni.

Bagi Wani, perkongsiannya mengenai keputusan cemerlang bukan atas dasar riak. “Saya berkongsi keputusan bukanlah mahu menunjuk-nunjuk, tetapi memberitahu, saya bukan sahaja fokus dengan kerjaya seni sahaja, sebaliknya tetap melunaskan tanggungjawab sebagai pemegang biasiswa Management & Science University (MSU).

“Jadi, pada masa yang sama, saya perlu juga membuktikannya walaupun saya sibuk bekerja, tetapi tetap seimbangkan dengan pengajian.

“Jujurnya, ramai tenaga pengajar saya yang mengikuti perkembangan saya, disebabkan itu saya perlu membuktikan saya boleh fokus sebagai pelajar,” katanya kepada media.

Perkongsian Wani Kayrie, mengenai keputusan cemerlang dalam peperiksaan bukan mahu bersikap riak, sebaliknya membuktikan anak seni boleh berjaya dalam pelajaran. – Agensi

Terdahulu, Wani berkongsi berita baik mengenai keputusan peperiksaan mendapat CGPA 3.42. Wani yang juga penuntut jurusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dan Perdagangan di MSU berkata, dia berusaha keras untuk meraih keputusan cemerlang. Namun, akuinya, bukan mudah, sebaliknya dia antara pelajar yang bergelut dalam menyeimbangkan kerjaya seni dan akademik.

“Walaupun kelas hanya dijalankan secara virtual, tetapi agak sukar. Ini kerana industri kreatif agak sibuk selepas kembali dibenarkan beroperasi.

“Jujurnya, jadual saya agak sibuk dan mencabar pada bulan ini. Saya perlu membahagikan masa untuk penggambaran yang tertangguh,” katanya yang sedang menjalani penggambaran untuk drama bersiri, Tahyul.

Bagaimanapun, hos Didik TV itu tetap berusaha memasuki kelas dan menyiapkan tugasannya. Bagi Wani, sebagai pemegang biasiswa MSU, ia adalah tanggungjawab besar untuknya memaparkan keputusan dan perkembangan yang baik. Sementara itu, berkongsi harapan sebagai calon awal Penyanyi Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34, Wani berkata, dia tidak meletakkan harapan tinggi dan cukup bersyukur dipilih membolosi pencalonan.

“Sebelum ini, saya pernah dicalonkan menerusi Artis Baharu Wanita Popular. Tahun ini, kali pertama saya dicalonkan dalam kategori Penyanyi Wanita Popular. Jadi, saya tidak mengharapkan apa-apa sebab saingan saya adalah penyanyi senior yang memiliki vokal hebat dan berpengalaman.

“Disebabkan itu, saya serahkan pada rezeki. Jika ada rezeki, adalah…,” katanya. – Agensi