Wani Syaz ‘bergelek’ dalam video Habibi

Pernah dikecam gara-gara menari dalam video muzik lagu Pendusta Cinta, penyanyi Wani Syaz menganggap ia satu cubaan untuk dia keluar daripada zon selesa.

Menurut Wani atau nama sebenarnya Nursyazwani Selamat, 23, sebagai anak seni dia perlu memberanikan diri untuk mencuba sesuatu yang baharu supaya peminat tidak jemu.

Biarpun ramai pihak tidak yakin dengan kemampuannya membawa lagu bernada tinggi namun dia berjaya membuka mata mereka selepas menyertai Gema Gegar Vaganza (GGV) musim pertama.

“Sebagai anak seni saya kena berani mencuba walaupun hakikatnya memang sedikit malu pada awalnya, tetapi apabila dah cuba saya rasa selesa dan best pula.

“Jika tak cuba saya tak akan keluar daripada zon selesa, bimbang nanti peminat akan bosan dan syukur muzik video tersebut mencecah 26 juta tontonan di YouTube.

“Sebelum menyertai GGV ramai yang tidak yakin akan kemampuan saya membawakan lagu bernada tinggi tapi akhirnya saya berjaya membuka mata ramai pihak termasuk syarikat rakaman,” katanya kepada media.

Wani kini tampil dengan lagu terbaharu duet bersama penyanyi Waris berjudul Habibi yang sudah dilancarkan pada Isnin di YouTube.

Muzik video tersebut sudah mencecah 30,000 tontonan dan mendapat banyak komen positif daripada warganet. – Agensi

Wani Syaz pernah dikecam gara-gara menari dalam video muzik lagu Pendusta Cinta dan menganggapnya sebagai satu cubaan untuk dia keluar daripada zon selesa. – Agensi