NEW DELHI, 25 Sept – Seorang bapa dan anak lelaki telah ditahan di India atas tuduhan membakar seorang wanita hidup-hidup kerana memutuskan hubungan, menurut pihak berkuasa hari ini.
Wanita berusia 18 tahun itu dipukul oleh bekas teman lelakinya dan bapa lelaki itu sebelum disimbah dengan minyak tanah dan dibakar di sebuah daerah di negeri Rajasthan di barat India, kata polis. “Dia diserang oleh ayah dan anaknya dan kemudian dibakar hidup-hidup,” pegawai polis setempat, Manish Charan memberitahu AFP.
Dia berkata wanita itu dalam perjalanan kembali ke rumah apabila kedua-dua individu itu menegurnya pada lewat Sabtu di sebuah pasar tempatan.
Bekas kekasihnya itu menyimbah minyak tanah kepada mangsa, namun dia tidak pasti siapa yang membakarnya, kata pegawai polis itu apabila memetik keterangan sebelumnya mati.
Dia mati akibat kecederaan melecur yang teruk di hospital semalam.
Keluarga wanita itu menuduh lelaki itu mengintipnya selepas pasangan itu berpisah beberapa waktu dahulu.
Jenayah-jenayah yang dilaporkan terhadap wanita telah meningkat secara dramatik di India sejak beberapa tahun kebelakangan terutamanya berikutan kes rogol secara beramai-ramai dan pembunuhan wanita berusia 23 tahun di New Delhi dalam tahun 2012.
Di daerah jiran Rajasthan semalam, wanita berusia 70 tahun telah dipukul sehingga mati oleh seorang penduduk kampung yang menuduhnya seorang ahli sihir. – AFP