Wanita Alabama sertai Daesh dilarang pulang

WASHINGTON, 21 Feb – Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Mike Pompeo pada Rabu mengumumkan bahawa Hoda Muthana, anak kelahiran Alabama yang menyertai kumpulan militan Daesh pada 2014, bukan seorang warganegara AS dan tidak akan dibenar memasuki negara itu, lapor agensi berita China Xinhua memetik satu kenyataan.

“Cik Hoda Muthana bukan seorang warganegara AS dan tidak akan dibenar memasuki Amerika Syarikat. Dia tidak memiliki sebarang asas perundangan, tiada pasport AS yang sah, tiada hak untuk memiliki pasport atau mana-mana visa untuk melakukan perjalanan ke Amerika Syarikat,” menurut Pompeo dalam kenyataan itu.

Menurut media AS, Muthana yang berhijrah ke Syria dan menyertai Daesh pada 2014, menyesal menyertai kumpulan itu dan kini ingin kembali ke tanah air.

Ketika ditanya mengenai kes Muthana dalam taklimat akhbar Jabatan Negara pada Selasa, timbalan jurucakap Robert Palladino menyatakan bahawa “situasi seorang rakyat Amerika atau mungkin warganegara Amerika di Syria menerusi tafsiran adalah amat sulit, dan kami sedang meneliti kesemua kes ini untuk lebih memahami butirannya.” – Bernama