Saturday, December 7, 2024
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Wanita AS terlibat dalam pembunuhan ibu dibebaskan pada 29 Oktober

    JAKARTA, INDONESIA, 6 OKT – Seorang wanita Chicago yang disabit bersalah kerana membantu teman lelakinya dalam pembunuhan ibunya dan menyumbat mayat itu dalam bagasi di pulau peranginan Bali, Indonesia pada 2014 telah dibebaskan lebih awal daripada hukuman 10 tahunnya, pegawai penjara mengesahkannya hari ini.

    Heather Mack yang berusia 18 tahun ketika ditangkap sehari selepas mayat ibunya, Sheila von Wiese-Mack ditemui dalam bonet teksi yang diletakkan dekat Pulau Peranginan St Regis Bali, akan dibebaskan dan dihantar pulang ke Amerika Syarikat pada 29 Oktober, kata Lili, ketua Penjara Wanita Kerobokan.

    “Dia telah menunjukkan sikap baik dan layak mendapat pengurangan hukuman. Dia nampak gembira apabila mengetahui perkara ini dan mula berkemas,” kata Lili.

    Mack dan teman lelakinya ketika itu, Tommy Schaefer telah ditahan pada Ogos 2014 dan disabit bersalah pada April 2015. Schafer dijatuhkan hukuman penjara selama 18 tahun.

    Sebelum Mack disabit bersalah, dia telah melahirkan anak perempuan kepada Schaefer yang diberi nama Stella Schaefer. Terdapat juga laporan mengenai hubungan bermasalah antara Mack dan ibunya, dengan para pegawai mengesahkan polis sering dihubungi ke kediaman keluarga itu di Oak Park, Illinois beberapa kali.

    Pada 2016, Robert Bibbs, sepupu Schaefer yang mengaku bersalah kerana membantu merancang pembunuhan itu dengan pertukaran AS$50,000 yang Mack dijangka akan warisinya, telah dijatuhkan hukuman penjara sembilan tahun.

    Sebaik dibebaskan, Mack akan disatukan semula bersama anak perempuannya yang kini berusia 6 tahun. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda