Wanita Australia terlibat bunuh polis Bali dibebaskan

DENPASAR, INDONESIA, 16 JULAI – Seorang wanita Australia dipenjara bersama teman lelakinya, seorang DJ British kerana memukul anggota polis Bali hingga mati telah dibebaskan hari ini selepas hampir empat tahun dipenjarakan di pulau percutian Indonesia itu.

Sara Connor, 49, meninggalkan penjara Kerobokan dan diserahkan kepada pihak berkuasa imigresen bagi menunggu proses deportasi, kata para pegawai Bali.

Connor dan David Taylor disabit bersalah pada 2017 kerana menyerang pegawai Wayan Sudarsa hingga mati, yang mayatnya ditemui di kawasan pelancongan popular Kuta pada tahun sebelumnya.

Mayat Sudarsa yang berlumuran darah ditemui dengan puluhan luka di lehernya, dada dan kepala.

Connor diberikan pembebasan awal dari tempoh lima tahun atas kelakuan baiknya, sementara Taylor menjalani hukuman penjara enam tahun disebabkan peranannya dalam serangan itu.

Gambar fail yang diambil pada 13 Mac 2017 menunjukkan Sara Connor dari Australia menghadiri perbicaraannya di mahkamah Denpasar, Bali, Indonesia. – AFP

Taylor, yang nama gelarannya DJ Nutzo, mengaku terlibat dalam pergelutan bersama Sudarsa di pantai selepas menuduh pegawai itu mencuri beg tangan Connor, dan mengakui memukulnya menggunakan barangan termasuk binokular dan botol bir.

Bagaimanapun, Taylor mengakui pada perbicaraan yang dia bimbang dengan nyawanya dan bertindak mempertahankan diri semasa pertikaian pada malam kejadian.

Connor seorang ibu kepada dua anak mengekalkan rasa bersalahnya, menegaskan dia hanya masuk campur untuk meleraikan pergaduhan itu. Dakwaan itu dinafikan oleh mahkamah Bali yang mengatakan dia membantu menahan mangsa ketika Taylor memukulnya.

Pasangan itu melarikan diri dari tempat kejadian namun lesen memandu Connor dan kad ATM ditemui dekat mayat berkenaan.

Selepas polis melancarkan pemburuan besar-besaran bagi pasangan itu, mereka mendapatkan perlindungan di konsulat Australia di Bali namun akhirnya mereka menyerah diri kepada pihak berkuasa tempatan. – AFP