Gambar AFP
KABUL – Didera selama bertahun-tahun oleh bekas suaminya yang mematahkan semua giginya, Marwa telah bersembunyi bersama lapan anaknya selepas komander Taliban membatalkan perceraiannya.
Marwa merupakan salah seorang daripada sebilangan kecil wanita di bawah kerajaan yang disokong AS sebelumnya, telah diberikan hak penceraian secara sah di Afghanistan, di mana wanita hampir tidak mempunyai hak dan penganiayaann domestik yang berleluasa.
Apabila tentera Taliban mula berkuasa pada 2021, suaminya mendakwa dia telah dipaksa bercerai dan para komander mengarahkannya kembali kepada suaminya.
“Saya dan anak perempuan saya banyak menangis pada hari itu,” kata Marwa, 40, yang namanya telah ditukar untuk melindungi dirinya, memberitahu AFP.
“Saya berkata kepada diri sendiri, ‘Ya Allah, syaitan telah kembali’.”
Kerajaan Taliban berpegang kepada tafsiran Islam yang ketat dan telah mengenakan sekatan yang teruk ke atas kehidupan wanita yang disebut oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai aparteid berasaskan jantina.

Peguam memberitahu AFP bahawa beberapa wanita telah dilaporkan diheret semula ke dalam perkahwinan yang kejam selepas komander Taliban membatalkan perceraian mereka.
Selama berbulan-bulan, Marwa ditindas dengan pukulan, dikurung di dalam rumah, dengan tangannya patah dan jarinya retak.
“Ada hari ketika saya tidak sedarkan diri, dan anak perempuan saya akan memberi saya makan,” katanya.
“Dia pernah menarik rambut saya dengan kuat sehingga sebahagian kepala saya botak. Dia memukul saya sehingga semua gigi saya patah.”
Mengumpul kekuatan untuk pergi, dia melarikan diri ratusan kilometer ke rumah saudara mara bersama enam anak perempuan dan dua anak lelakinya, yang semuanya menggunakan nama samaran.
“Anak-anak saya berkata, Ibu, tidak mengapa jika kita kelaparan. Sekurang-kurangnya kita telah bebas daripada penderaan,” kata Marwa sambil duduk di atas lantai retak di rumahnya yang kosong sambil menggenggam seutas tasbih.
“Tiada siapa yang mengenali kami di sini, malahan jiran kami,” katanya, bimbang suaminya akan menemuinya.
Di Afghanistan sembilan daripada 10 wanita akan mengalami keganasan fizikal, seksual atau psikologi daripada pasangan mereka, menurut misi PBB di negara itu.
Bagaimanapun, perceraian selalunya lebih tabu daripada penderaan itu sendiri dan budaya tetap tidak memaafkan wanita yang berpisah dengan suami mereka.
Di bawah kerajaan terdahulu yang disokong AS, kadar perceraian semakin meningkat di beberapa bandar, di mana peningkatan kecil dalam hak wanita sebahagian besarnya terhad kepada pendidikan dan pekerjaan.
Wanita sering menyalahkan nasib mereka atas apa sahaja yang berlaku kepada mereka, kata Nazifa, seorang peguam yang berjaya mengendalikan kira-kira 100 kes perceraian untuk wanita yang didera tetapi tidak lagi dibenarkan bekerja di Afghanistan yang diperintah Taliban.
“Apabila tidak ada lagi keharmonian dalam hubungan suami isteri, Islam pun membenarkan perceraian,” jelas Nazifa yang hanya mahu memberikan nama pertamanya.
Di bawah rejim yang digulingkan, mahkamah keluarga khas dengan hakim dan peguam wanita ditubuhkan untuk mendengar kes sedemikian, tetapi pihak berkuasa Taliban telah menjadikan sistem keadilan baharu mereka sebagai urusan lelaki.
Nazifa memberitahu AFP bahawa lima daripada bekas pelanggannya telah melaporkan berada dalam situasi yang sama seperti Marwa.
Seorang lagi peguam, yang tidak mahu dikenali, memberitahu AFP dia baru-baru ini menyaksikan kes mahkamah di mana seorang wanita menentang untuk bersatu semula secara paksa dengan bekas suaminya.
Dia menambah bahawa perceraian di bawah kerajaan Taliban adalah terhad kepada seorang suami yang diklafikasikan sebagai penagih dadah atau telah meninggalkan negara itu.
“Tetapi dalam kes keganasan rumah tangga atau apabila suami tidak bersetuju untuk bercerai, maka mahkamah tidak membenarkan mereka,” katanya.
Rangkaian pusat perlindungan dan perkhidmatan di seluruh negara yang pernah menyokong wanita hampir runtuh sepenuhnya, manakala Kementerian Hal Ehwal Wanita dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia telah dibubarkan.
Sana berumur 15 tahun ketika dia berkahwin dengan sepupunya, 10 tahun lebih tua daripadanya.
“Dia akan memukul saya jika anak damit kami menangis atau makanannya tidak sedap,” katanya sambil menyediakan teh di atas dapur gas di sebuah rumah di mana dia tinggal secara rahsia. – AFP