Wanita berjuang lindungi hutan biodiversiti terakhir India

WAYANAD – Ketika penebangan hutan dan perubahan iklim memusnahkan banjaran gunung Ghats Barat yang disenaraikan sebagai warisan UNESCO di India, pasukan hutan hujan yang kesemuanya wanita sedang berjuang untuk melindungi salah satu kawasan biodiversiti terakhir di kawasan itu.

Rantau ini adalah rumah kepada sekurang-kurangnya 325 spesies flora, fauna, burung, amfibia, reptilia dan ikan yang terancam di peringkat global tetapi Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Semula Jadi (CITES) telah memberi ranking prospek ke atasnya sebagai ‘kebimbangan signifikan’.

Tetapi di Tempat Perlindungan Botani Gurukula, kumpulan terdiri daripada 27 orang wanita bertindak sebagai penjaga pokok paku-pakis yang jarang ditemui, lumut pemeluk pokok dan beribu-ribu tumbuhan lain yang mungkin pupus selama-lamanya.

“Kami cuba menyelamatkan apa yang mungkin. Ia seperti kem pelarian,” kata Suprabha Seshan, salah seorang kurator di rizab itu. Ia juga seperti hospital.

“Unit rawatan rapi berada di dalam pasu dan kemudian apabila awda mengeluarkannya, itu seperti wad umum di mana ia mendapat bentuk penjagaan kesihatan primer yang lain,” tambah Seshan.

Dia menganggarkan lebih 90 peratus daripada hutan yang pernah menghiasi kawasan itu telah lenyap, satu keadaan yang disifatkannya sebagai ‘holocaust’ ekologi.

Pekerja kelihatan menukar pasu tumbuhan yang ditanam dengan tumbuhan jarang ditemui dan hampir pupus. – AFP
Kelihatan Laly menanam semula tumbuhan epifit di atas pokok di kawasan Perlindungan Botani Gurukula. – AFP
Seorang pekerja menggantikan air daripada jenis tumbuhan jarang yang ditanam di kawasan Perlindungan Botani Gurukula , yang terletak di pergunungan Ghat Barat, di Daerah Wayanad, Kerala. – AFP

Suprabha Seshan, pakar pemuliharaan tumbuhan dan ekologi pemulihan serta pengarah kawasan Perlindungan Botani Gurukula ketika ditemui pemberita. – AFP

Gurukula telah dicipta sebagai syurga bagi flora asli yang berjuang untuk terus hidup kerana pemanasan global dan pencerobohan manusia, dengan harapan perlahan-lahan mengisi semula rantau ini dengan tumbuhan asli.

Gurukula, yang bermaksud ‘pemulihan dengan seorang guru’, telah ditubuhkan 50 tahun lalu oleh pemuliharaan Jerman, Wolfgang Theuerkauf.

Theuerkauf, yang menjadi warganegara India pada 1978 dan meninggal dunia tujuh tahun lalu, bermula dengan tujuh ekar hutan, hari ini saiznya sepuluh kali ganda.

‘Hutan ini adalah guru kami’

“Wolfgang berkata ‘hutan ini adalah guru kami’,” jelas Seshan.

Tiga generasi ‘tukang kebun hutan hujan’ daripada wanita dari desa tempatan di negeri Kerala yang panas dan lembap telah bekerjasama dengan ahli botani untuk membina tempat perlindungan itu.

Memakai but besar untuk melindungi daripada ular tedung dan serangga berbisa serta berbaju tunic berwarna cerah, rambut mereka diikat di bawah selendang, wanita-wanita itu menghabiskan hari yang panjang di dalam hutan, rumah hijau tempat perlindungan dan tapak semaian. Mereka menanam semula flora yang ‘sakit’, menapis kompos dan biji benih serta membuat racun perosak semula jadi yang berbau busuk daripada air kencing lembu.

“Kami mempunyai antara 30 dan 40 peratus flora Ghats Barat di bawah pemuliharaan di sini,” tambah Seshan.

Kerja menjadi semakin penting. Rantau ini memenangi penyenaraian UNESCO pada 2012 sebahagiannya kerana ia merupakan salah satu kawasan panas biodiversiti dunia, tetapi dalam laporan Tinjauan Warisan Dunia 2020, IUCN memberi amaran tentang ancaman pencerobohan aktiviti manusia dan kepupusan habitat.

Ia berkata: “Seramai 50 juta orang dianggarkan tinggal di wilayah Ghats Barat, mengakibatkan tekanan yang lebih besar daripada banyak kawasan terlindung di seluruh dunia.”

Seshan, yang telah bekerja di tempat perlindungan selama 28 tahun, telah melihat keadaan semakin teruk secara langsung.

Dia teringat: “Semasa saya mula-mula datang ke sini, plastik masih bukan sebahagian daripada budaya kami. Saya masih ingat apabila Wolfgang menemui beg plastik pertama di sungai, dia berkata: ‘peradaban telah tiba’.”

Kejayaan pemindahan

Melawan lintah yang hidup dalam kelembapan, tukang kebun hutan hujan cenderung kepada pelbagai pokok paku pakis, bunga dan herba terancam yang tumbuh di sekitar batu dan di bawah naungan pokok tropika.

Tumbuhan kecil di Ghats Barat terdedah kepada peningkatan suhu, jumlah turunan hujan yang tidak menentu dan kehilangan habitat, kata Seshan.

“Semakin banyak perubahan iklim, semakin banyak strategi kehidupan reproduktif mereka perlu berubah untuk menyesuaikan diri.”

Laly Joseph, seorang lagi tukang kebun senior, menjelajah pergunungan untuk mencari spesies yang perlu dipindahkan ke Gurukula untuk rawatan rapi. Dia cuba mencari cara mudah untuk menghasilkan semula keadaan semula jadi untuk setiap spesies yang dijaga. Ia juga disenaraikan dengan teliti dalam inventori.

Joseph menunjukkan Impatiens jerdoniae yang memiliki bunga berwarna merah dan kuning yang telah berjuang sebelum dipelihara dan dipindahkan ke sebatang pokok. Tiga tahun berkembang maju.

Joseph, yang telah bekerja di tempat perlindungan itu selama 25 tahun, berkata menyelamatkan spesies yang jarang ditemui dan melihatnya hidup semula di dalam hutan adalah sesuatu yang amat memuaskan.

“Tumbuhan gembira di sini, saya gembira apabila ia gembira,” kata Joseph mengenai tumbuhan itu.

Tetapi dia bimbang iklim yang semakin tidak menentu boleh memusnahkan kerja-kerja mereka. Ghats Barat biasanya mendapat hujan sehingga 500 sentimeter setahun, tetapi monsun semakin tidak menentu. Tumbuhan terpaksa berjuang untuk mengatasinya, kata Joseph.

“Tumbuhan layu, ia tidak boleh mengalami proses pendebungaan, ia tidak mendapat benih. Itulah cara awda kehilangan spesies,” tambahnya.

“Saya sedih apabila pokok telah tumbang, apabila hutan hujan mati.” – AFP