Wanita Britain maut selepas terima AZ

NICOSIA, 24 MEI – Seorang wanita Britain berusia 39 tahun meninggal dunia di hospital Cypriot selepas mengalami pembekuan darah setelah menerima vaksin AstraZeneca (AZ), kata agensi berita rasmi Cyprus (CNA) hari ini.

Charalambos Charilaou, jurucakap bagi perkhidmatan kesihatan negara itu memberitahu CNA bahawa Agensi Perubatan Eropah (EMA) akan menyiasat insiden kematian tersebut.

Wanita itu dirawat di unit penjagaan rapi Hospital Awam Nicosia, menerima dos pertama vaksin pada 6 Mei di bandar peranginan Paphos di barat pantai pulau Mediterranean.

Beberapa hari kemudian, wanita itu mengalami simptom-simptomnya.

Menurut akhbar Cyprus Mail, wanita itu mengalami pendarahan otak dan koma sebelum meninggal dunia.

Pihak berkuasa kesihatan Cyprus telah membuka siasatan untuk menyiasat jika ‘episod trombosis parah’ berkaitan dengan suntikan AZ.

Empat kes lain berkaitan insiden pembekuan darah ‘sederhana’ – tiga daripadanya selepas menerima suntikan AZ dan seorang Pfizer – juga sedang disiasat oleh Cyprus. – AFP