Wanita ‘buta huruf’ penerima pertama vaksin PPV walk-in di Sandakan

SANDAKAN, 16 OGOS – Seorang wanita ‘buta huruf’ atau tidak pandai membaca dan menulis, tidak menjadikan kekurangannya, halangan untuk mendapatkan vaksin COVID-19, malah beliau menjadi penerima pertama vaksin di pusat pemberian vaksin (PPV) secara jumpa terus atau ‘walk-in’ di sini hari ini.

Anila Tahir, 55, seorang petugas landskap memberitahu beliau keluar dari rumahnya di Kampung Tinosa 1 dekat sini ditemani suaminya pada pukul 5 pagi menuju Dewan Yu Yuan di sini sejauh 12km, yang dijadikan PPV pertama dikhaskan untuk masyarakat Sandakan menerima vaksin secara jumpa terus.

“Saya telah didaftarkan oleh ahli keluarga saya untuk mendapatkan janji temu di MySejahtera. Tetapi kerana saya tidak tahu membaca, saya tidak tahu bagaimana untuk pastikan saya telah mendapat janji temu.

“Saya benar-benar mahu mendapatkan suntikan vaksinasi kerana saya tidak mahu lagi berasa risau dijangkiti penyakit apabila keluar bekerja dan berurusan di luar rumah,” katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.

Setelah menerima vaksin beliau sempat menyatakan “saya orang pertama,” ketika keluar dari dewan itu dan disambut dengan sorakan anggota polis yang berkawal di PPV berkenaan. – Bernama