Wanita cetus kemalangan TdF dibicarakan

BREST, PERANCIS, 14 OKT – Seorang penonton yang menyebabkan satu daripada kemalangan paling besar dalam sejarah Tour de France (TdF) berdepan perbicaraan hari ini atas dakwaan menyebabkan ramai pelumba cedera pada hari pertama acara berbasikal itu pada hujung Jun lalu.

Wanita Perancis berusia 31 tahun itu yang identitinya dirahsiakan selepas menjadi sasaran di media sosial, memberitahu pendakwa raya bahawa dia malu dengan ‘kebodohannya.’

Dia berharap papan dipegangnya yang tertulis ‘Allez, Opi-Omi’ menggunakan bahasa Jerman bermaksud ‘datuk dan nenek,’ bagi mengenang asal usul mereka dari Jerman dapat dilihat kamera televisyen.

Namun tindakannya di depan peloton yang besar di jalan yang sempit menuju penamat di barat Perancis adalah keterlaluan.

Pelumba Jerman, Tony Martin gagal mengelak dan terjatuh menyebabkan ramai lagi pelumba terbabit dalam insiden itu.

Rakaman video kemalangan dan anggota perubatan bergegas membantu mangsa, mencetuskan kemarahan peminat dan penganjur perlumbaan, terutama apabila menyedari wanita itu meninggalkan tempat kejadian tanpa membantu.

Dia menyembunyikan diri selama empat hari sebelum menyerah diri kepada polis.

Beberapa pelumba terpaksa menarik diri daripada perlumbaan termasuk Marc Soler dari Sepanyol kerana patah kedua-dua tangan. – AFP

Gambar fail menunjukkan pelumba Pasukan Bryan Coquard dari Perancis (kanan) dan Pasukan Alpecin Fenix terbaring di atas tanah selepas kemalangan semasa peringkat pertama perlumbaan Tour de France di antara Brest dan Landerneau. – AFP