Wanita dibiarkan mati dalam beg pakaian

WHITE PLAINS, NEW YORK, 24 SEPT – Seorang lelaki yang mengikat teman wanitanya di pangsapuri New York semasa pertengkaran dan menyumbatnya dalam beg pakaian di mana dia mati lemas di Connecticut seminggu kemudian dijatuhi hukuman penjara 30 tahun semalam.

Javier Da Silva, 26, imigran Venezuela yang dikatakan pihak berkuasa telah menetap melebihi tempoh visa pada masa pembunuhan pada 2019, dijatuhi Hakim Daerah AS, Vincent Briccetti di mahkamah persekutuan di White Plains, New York.

Da Silva mengaku bersalah atas tuduhan menculik pada tahun lalu dalam kematian Valerie Reyes, 24, pekerja di kedai buku yang tinggal di New Rochelle dan bercita-cita menjadi artis tatu.

Ibu Reyes, Norma Sanchez, menggelar Da Silva seorang yang ‘tamak dan pentingkan diri sendiri’ ketika dia bercakap di mahkamah sebelum hukuman dijatuhkan.

Pendakwa tidak bersetuju dengan komen peguam Da Silva mengatakan Da Silva berasa kesal, berkata dia tidak menunjukkan rasa sesal selepas membiarkan Reyes mati dalam beg pakaian dan seterusnya menggunakan kad debitnya untuk mengeluarkan lebih AS$5,000 serta menjual iPadnya.

Da Silva mengaku dia dan Reyes berkelahi di apartmennya pada akhir Januari 2019, sembilan bulan selepas mereka berpisah. Semasa perbicaraan tahun lalu, dia berkata dia mengikat tangan dan kaki Reyes, menutup mulutnya dengan pelekat dan meletakkannya dalam beg pakaian ketika dia masih hidup.

Da Silva berkata dia membuang beg pakaian di hutan kawasan Greenwich, di mana ia ditemui seminggu selepas kejadian. Pemeriksa perubatan berkata Reyes mati akibat asfiksia. – AP

Gambar fail menunjukkan kawan dan keluarga Valerie Reyes menghadiri upacara pengebumiannya di Tanah Perkuburan Greenwood Union di Rye, New York. – AP