Wanita didakwa culik anak damit diberkas di Filipina

MANILA, FILIPINA, 19 FEB – Seorang wanita warga Amerika yang didakwa melakukan penyeludupan manusia kerana dipercayai cuba menyeludup anak damit yang berusia enam hari di dalam sebuah beg telah ditahan hari ini, kata pihak berkuasa.

Jennifer Talbot dari Utah, yang didakwa dengan ikat jamin ketika berdepan dengan tuduhan pemerdagangan manusia, telah didedahkan kepada pemberita di Manila hari ini oleh pegawai dari Biro Penyiasatan Nasional, sebuah agensi penyiasatan anti-jenayah kerajaan. Talbot memakai baju jingga dan menggunakan topeng, dengan lengan kirinya digari.

Dia menarik topengnya dan berkata, “Saya menentang sidang akhbar ini tanpa kehadiran peguam saya dan kedutaan.”

Talbot telah merancang untuk menaiki penerbangan Delta Air Lines ke Amerika Syarikat bersama anak damit itu pada 4 September, menurut pendakwa raya. Selepas menemui anak damit itu, kakitangan syarikat penerbangan melaporkan kejadian itu kepada kakitangan imigresen, yang kemudiannya membawa kepada penangkapan Talbot di lapangan terbang. Anak damit itu kemudiannya diserahkan kepada kakitangan kebajikan kerajaan.

Para pendakwa mengatakan bahawa Talbot menyampaikan afidavit di lapangan terbang, mendakwa dia mendapatkan kebenaran untuk membawa anak damit itu daripada ibunya yang telah memberi persetujuan untuk mengunjungi AS, tetapi ia tidak ditandatangani oleh ibu anak damit itu. Pegawai berkata tiada kelulusan perjalanan kerajaan telah dikeluarkan untuk anak damit itu, menyebabkan mereka memfailkan tuduhan pemerdagangan manusia tahun lalu terhadap Talbot. Talbot juga melanggar sekurang-kurangnya dua undang-undang lain, penculikan dan penahanan haram, kata pendakwa raya. – AP