TOKYO, 25 Sept – Polis Tokyo hari ini berkata bahawa mereka telah menahan seorang wanita berusia 49 tahun kerana didakwa membuang anak damitnya di dalam lokar syiling, di tengah-tengah laporan bahawa dia telah memindahkan mayat itu di beberapa tempat selama lima tahun.
“Suspek pergi dan meninggalkan mayat anak damit itu di dalam lokar berdekatan Stesen Uguisudani,” jelas seorang jurucakap polis Tokyo kepada AFP.
Menurut media setempat, wanita yang tidak mempunyai pekerjaan itu menyerah diri dan berterus-terang bahawa dia telah menyimpan mayat anak damit itu di beberapa lokar berdekatan stesen itu sejak mati dalam kandungan ‘empat atau lima tahun lalu’.
“Saya panik selepas mendapati saya gagal melahirkan anak damit yang bernyawa dan menyimpannya kerana saya tidak mampu membuangnya,” katanya kepada para penyiasat, menurut Kyodo News.
Dia membuat keputusan untuk menyerah diri selepas dia dihalau keluar dari tempatnya tinggal, jelas Kyodo News.
Dia telah meninggalkan kunci lokar itu dan fikir seseorang mungkin akan menemui mayat itu. – AFP