Wanita ditahan terlibat aktiviti tidak bermoral

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 MEI – Seorang wanita warga tempatan berusia 35 tahun ditahan kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan tidak bermoral semasa serbuan yang dijalankan oleh Unit Penumpasan Perjudian dan Pencegahan Maksiat, Jabatan
Siasatan Jenayah, Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB) di Kampung Serusop.

Halimatussaadiah binti Hamdiah dipercayai menjalankan aktiviti memberikan khidmat seks dalam serbuan yang menyasarkan sebuah bilik penginapan, rumah tumpangan di Kampung Serusop.

Semasa pemeriksaan dilakukan, beberapa bahan bukti telah ditemui bagi menyokong serta membantu pihak polis dalam menjalankan kertas penyiasatan atas perilaku yang dilakukan suspek.

Suspek yang tidak mempunyai sebarang pekerjaan kerap kali menyewa bilik penginapan berkenaan yang dipercayai bagi tujuan menjalankan aktiviti tersebut.

Suspek kemudiannya dibawa ke Jabatan Siasatan Jenayah untuk siasatan lanjut. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 294A Kesalahan Menawarkan Khidmat Seks, Kanun Hukuman jenayah Penggal 22.

Sehubungan itu, PDB menggesa semua pengendali rumah sewa dan rumah tumpangan agar sentiasa memantau premis mereka bagi sama-sama membendung aktiviti yang tidak bermoral ini.

Wang tunai yang turut ditemui dalam serbuan berkenaan. – Gambar serahan PDB