Saturday, April 20, 2024
29.4 C
Brunei

    -

    Wanita dominasi perniagaan di Kelantan

    KOTA BAHARU – Dari gerai di tepi jalan hinggalah ke gedung beli-belah tersohor di Kelantan, rata-rata ia dioperasikan oleh kaum hawa.

    Sesuai dengan gelaran Negeri Che Siti Wan Kembang iaitu nama lain Kelantan, boleh dikatakan wanita di negeri ini memainkan watak penting dalam menjana ekonomi sesebuah keluarga dengan majoriti mereka terlibat dalam perniagaan.

    Pemandangan ini paling ketara di Pasar Siti Khadijah, Kota Bharu, di mana lebih 90 peratus daripada kira-kira 2,400 peniaga di situ adalah kaum hawa yang gigih berniaga sejak awal pagi, sama ada di bahagian pasar basah, buah-buahan, barangan runcit, makanan, pakaian atau kedai emas.

    Berusia 20 hingga 70 tahun, rata-rata usahawan wanita terbabit menyifatkan perniagaan sudah menjadi darah daging masyarakat Kelantan dan ia diwarisi turun-temurun.

    Menurut Setiausaha Persatuan Peniaga-peniaga Kecil Bumiputera Pasar Siti Khadijah, Norazma Mohd Jaafar, di Kelantan, bukan sesuatu yang pelik jika wanita dilihat lebih menonjol berbanding lelaki dalam bidang perniagaan.

    Malah kata usahawan pakaian itu, kaum hawa banyak menyumbang kepada perkembangan ekonomi negeri kerana mereka terlibat dalam hampir keseluruhan rantaian bekalan.

    “Sebagai contoh, serunding daging yang dijual di Pasar Siti Khadijah dibekalkan oleh pengusaha serunding sekitar negeri ini seperti pengusaha serunding dari Kampung Laut, Tumpat jadi mereka pun mendapat manfaat juga apabila perniagaan di pasar ini berkembang,” katanya kepada Bernama.

    Peniaga Hasnah Zakaria membungkus makanan yang dijual ketika tinjauan di Pasar Siti Khadijah. – Bernama
    Peniaga wanita melakukan urus niaga bersama pelanggan ketika tinjauan di Pasar Siti Khadijah. – Bernama
    Peniaga wanita menunggu pelanggan ketika tinjauan di Pasar Siti Khadijah. – Bernama
    Peniaga menyusun pelbagai jenis sayuran ketika tinjauan di Pasar Siti Khadijah. – Bernama

    Gigihnya wanita Kelantan berniaga

    Pasar Siti Khadijah yang mula beroperasi pada 1985, menjadi lambang kegigihan wanita Kelantan dalam bidang perniagaan dan ia juga adalah antara ikon pelancongan di negeri ini.

    Dianggarkan 1,000 hingga 2,000 orang mengunjungi pasar tersebut sehari pada musim perayaan dan cuti persekolahan manakala pada hari biasa antara 500 dan 1,000 orang.

    Bangunan tiga tingkat itu juga menjadi pusat pengumpulan dan penjualan hasil pertanian, perikanan, produk perusahaan kecil dan sederhana dari seluruh negeri ini. Malah, produk dari negara jiran Thailand turut dipasarkan di situ.

    Menyokong semangat dan kegigihan golongan wanita berniaga, agensi kerajaan dan swasta tampil menghulurkan bantuan melalui program memperkasa perniagaan dengan memberi modal, bimbingan selain mengadakan program bagi menarik kunjungan pelawat dari dalam dan luar negara.

    Ahmad Nazri Che Omar, pengerusi Persatuan Peniaga-peniaga Kecil Bumiputera Pasar Siti Khadijah, memberitahu Bernama persatuan itu berkolaborasi dengan agensi kerajaan dan swasta bagi memperkasa perniagaan terutamanya yang dijalankan oleh wanita.

    Antara agensi terbabit ialah Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional), Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Bank Islam Malaysia Berhad, Telekom Malaysia Berhad, Bank Simpanan Nasional dan Tourism Malaysia.

    Ahmad Nazri berkata pihaknya meminta agensi kerajaan dan swasta menganjurkan program seperti karnival yang boleh menarik pelancong domestik dan luar negara untuk datang ke negeri itu, sekali gus merancakkan aktiviti perniagaan.

    Beliau turut berkata kekurangan modal serta premis perniagaan yang terhad menjadi kekangan kepada perkembangan perniagaan di Kelantan.

    “Setelah suram akibat pandemik COVID-19, sekarang kita mohon kerajaan negeri, agensi kerajaan dan pihak swasta menganjurkan program yang mampu mengembalikan keceriaan Kota Bharu dan Kelantan sebagai tumpuan pelancong,” ujarnya.

    Beliau juga meminta Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) Bandaraya Islam menyelenggarakan dan memperindah bangunan Pasar Siti Khadijah yang berusia 37 tahun itu dari semasa ke semasa bagi keselesaan para peniaga dan pelancong.

    Perlukan infrastruktur

    Sementara itu, Pengurus AIM Wilayah Kelantan Mohd Abu Samah Mohd Daud berkata terdapat kira-kira 45,000 usahawan wanita di negeri berkenaan yang dibiayai oleh institusi tersebut.

    Untuk tahun ini, AIM menyediakan sejumlah RM454 juta sebagai dana pinjaman kepada usahawan wanita yang digalakkan menceburi bidang ekonomi digital.

    “… sudah ramai dalam kalangan sahabat (usahawan) AIM menceburi perniagaan ekonomi digital ini,” katanya.

    Pengerusi Lembaga Perwakilan Sahabat AIM Wilayah Kelantan, Fatimah Harun pula mahu kerajaan negeri dan persekutuan memajukan infrastruktur bagi menyokong perkembangan sektor perniagaan di negeri tersebut.

    Beliau yang menjalankan perniagaan berkaitan getah di Tanah Merah, berkata pembinaan dan pemodenan infrastruktur penting bagi menarik pelaburan dari dalam dan luar negara, selain memastikan projek pembangunan yang diluluskan kerajaan disiapkan mengikut jadual.

    Antara projek yang sedang dilaksanakan di negeri ini ialah pembesaran dan naik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) di Pengkalan Chepa dan Projek Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai.

    Sebanyak 395 projek pembangunan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) sudah diluluskan di Kelantan dengan kos keseluruhan RM20.9 bilion. Ia membabitkan 74 projek baharu dan 321 projek sambungan.

    Ekonomi digital

    Sementara itu, pemilik Syarikat Kopi Cap Tangan, Norini Ismail berharap kerajaan akan terus membantu mengembangkan keusahawanan rakyat Kelantan dengan membimbing dan memberi kemahiran kepada mereka untuk menceburi ekonomi digital.

    “Hab Digital Ketereh dan Pusat Digital Ekonomi Keluarga Malaysia (PEDi) ada menyediakan bimbingan dan kurikulum untuk usahawan menceburi ekonomi digital. Ini akan membolehkan produk usahawan termasuk serbuk kopi saya, dipasarkan melalui platform digital ke seluruh negara malah ke luar negara,” katanya.

    Pengusaha ternakan ikan patin di Bachok, Ruziana Shafie pula berkata ekonomi digital adalah peluang baharu untuk beliau memperluas pasaran ikan patin dan produk pekasam ikan patin yang diusahakannya.

    Beliau berkata setakat ini produk yang dihasilkan oleh syarikatnya dipasarkan di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Kuala Lumpur.

    “Saya yakin perniagaan secara dalam talian akan mengembangkan lagi perniagaan saya,” katanya yang mempunyai lima kolam ternakan ikan patin.

    Norazma, Ahmad Nazri, Fatimah, Norini dan Ruziana adalah antara ribuan usahawan di Kelantan yang berharap wakil rakyat yang memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 dapat memajukan Kelantan, dan seterusnya menyelesaikan isu-isu yang mengekang pertumbuhan ekonomi, khususnya sektor perusahaan kecil dan sederhana.

    Mereka juga amat mengharapkan peluang perniagaan baharu diwujudkan terutama untuk anak muda di negeri itu. – Bernama

    Artikel sebelum ini
    Artikel seterusnya
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...