Wanita hamil cemas rumah dirempuh kapal

SIBU, 18 OKT – Seorang suri rumah yang mengandung tujuh bulan berdepan detik cemas apabila rumah yang didiaminya di tepi Sungai Batang Igan, di sini, dirempuh sebuah kapal tunda.

Suami wanita itu, Abdul Razak Ayat, 52, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 9:30 pagi tadi ketika isterinya berada di dalam bilik air dan bergegas keluar setelah terdengar jeritan jiran-jirannya.

“Semasa kejadian hanya isteri berada di rumah, saya keluar bekerja manakala dua anak bersekolah,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Abdul Razak yang merupakan pekerja swasta itu berkata, rumah yang didiami mereka sekeluarga itu adalah rumah sewa.

Katanya, akibat rempuhan kapal tersebut, keadaan rumah itu rosak dan senget serta tidak lagi selamat untuk didiami. – Bernama