Wanita Indonesia berdepan tiga pertuduhan

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JULAI – Seorang wanita warganegara Indonesia telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret, atas pertuduhan cuba membeli tiket loteri, tinggal lebih tempoh dan menipu.

Tertuduh, Susanti binti Joko didakwa cuba membuat pembelian tiket loteri di sebuah bangunan di Kampung Bengkurong pada 4 Julai lalu.

Selain itu tertuduh juga tinggal lebih tempoh di negara ini setelah pas imigresennya tamat sejak tahun lalu.

Tertuduh juga didakwa menipu seorang wanita yang melibatkan barang kemas bernilai $3,047.29.

Pertuduhan menyatakan bahawa tertuduh menipu wanita tersebut dengan mendakwa bahawa dia akan melaburkan barang kemasnya ke dalam skim pelaburan emas dengan pulangan sebanyak $200 setiap bulan.

Timbalan Pendakwa Raya Noradliatul Hidayah binti Haji Mohd Zaidi mendedahkan kepada Majistret Dewi Norlelawati binti Haji Abdul Hamid bahawa siasatan polis masih sedang dijalankan terhadap tertuduh sebelum pihak pendakwaan dapat menyelesaikan pertuduhan ke atasnya. Oleh itu kes telah ditangguhkan ke tarikh 6 Ogos depan.