TEHRAN, 17 SEPT – Presiden Iran, Masoud Pezeshkian kelmarin berjanji akan memastikan polis moral tidak lagi ‘mengganggu’ wanita, dalam ucapan kepada media sempena ulang tahun kedua kematian Mahsa Amini dalam tahanan.
Amini, warga Iran berbangsa Kurdistan berusia 22 tahun, meninggal dunia ketika berada dalam tahanan polis pada 16 September 2022, beberapa hari selepas polis moral menangkapnya di Tehran kerana didakwa melanggar kod pakaian ketat republik Islam itu untuk wanita.
Kematiannya mencetuskan protes selama berbulan-bulan di seluruh negara, dengan ratusan orang terbunuh, termasuk berpuluh-puluh anggota keselamatan. Beribu-ribu penunjuk perasaan telah ditangkap.
“Polis moral tidak sepatutnya mengganggu wanita. Saya akan memastikan mereka tidak mengganggu mereka,” kata Pezeshkian semasa sidang akhbar pertamanya di Iran sejak beliau memegang jawatan pada Julai.
Pezeshkian menggantikan Ebrahim Raisi, presiden amat konservatif, yang meninggal dunia dalam nahas helikopter pada Mei.
Semasa kempen pilihan raya, beliau berjanji akan ‘sepenuhnya’ menentang rondaan polis yang menguatkuasakan pemakaian hijab wajib, serta melonggarkan sekatan Internet yang telah lama wujud.
Iran selama ini telah mengawal ketat penggunaan Internet, menyekat platform media sosial yang popular seperti Facebook dan X. Sekatan yang lebih ketat telah dikuatkuasakan selepas protes 2019 terhadap kenaikan harga bahan api dan semasa demonstrasi yang dicetuskan oleh kematian Amini.
Kelmarin, Pezeshkian berkata kerajaannya sedang berusaha untuk mengurangkan sekatan dalam talian, terutama terhadap media sosial. – AFP