Wanita Itali menangi lukisan Picasso AS$1.1 juta

PARIS, 21 MEI – Seorang wanita Itali memenangi lukisan Picasso bernilai lebih daripada AS$1 juta dalam cabutan kebajikan untuk mengumpul dana projek air kampung di Afrika.

Pemenang cabutan semalam di firma pelelongan Christie’s di Paris dinamakan sebagai Claudia Borgogno, yang diberikan tiket kemenangan.

Hadiahnya adalah lukisan minyak Picasso 1921 ‘Nature Morte’, yang ditandatangani dan diberikan tarikh oleh artis tersebut.

Komposisi geometrik pelukis agung Sepanyol itu melambangkan senaskhah surat khabar dan segelas minuman keras ‘absinthe’.

Projek ‘1 Picasso untuk 100 euro’ yang dianjurkan oleh badan amal Perancis Aider les Autres bertujuan mengumpul dana untuk pelbagai projek kemanusiaan.

Cabutan tahun ini, yang kedua diadakan dengan hadiah Picasso, adalah untuk mengumpul wang untuk agensi pembasmian kemiskinan CARE untuk membiayai projek yang mempertingkat kemudahan mendapatkan air untuk 200,000 penduduk kampung di Maghribi, Cameroon dan Madagascar.

Lebih 51,000 orang membeli tiket 100 euro menerusi laman web projek, mengumpul 5.1 juta euro, walaupun jauh lebih rendah daripada sasaran awal iaitu 20 juta.

Tiket-tiket dibeli oleh orang di lebih 100 buah negara, dengan majoriti di Perancis, Amerika Syarikat dan Switzerland. – AFP

Penganjur cabutan Peri Cochin (kiri) dan Arabenne Reille meletakkan lukisan ‘Nature morte’ oleh Picasso dalam bingkainya di firma pelelongan Christie’s di Paris pada 19 Mei 2020. – AP