Wanita Jepun paling tua catat usia 117 tahun

FUKOUKA, 20 SEPT – Wanita tertua yang diiktiraf masih hidup oleh Rekod Dunia Guinness, Kane Tanaka melepasi rekod usia Jepun dengan mencatat usia 117 tahun, 262 hari.

Kementerian Kesihatan, Buruh dan Kebajikan berkata, rekod lalu dipegang oleh seorang lagi wanita Jepun, Nabi Tajima dari Pulau Kikai yang meninggal dunia pada April, 2018.

Tanaka adalah anak ketujuh dari sembilan adik beradik dan dilahirkan pada 2 Januari 1903 dan ketika ini tinggal di rumah penjagaan di bandar Fukuoka, barat daya Jepun.

Pada Mac tahun lalu, beliau dianugerahkan sebagai individu tertua oleh Guinness.

Kyodo News melaporkan, Tanaka menyamai rekod usia paling tua di Jepun pada Jumaat lalu dan beliau meraikannya dengan meminum minuman kegemarannya, Coke dan memakai baju-T dengan lakaran wajahnya.– Agensi