NEW YORK, 24 NOV – Secara purata, lebih lima wanita atau kanak-kanak perempuan dibunuh setiap jam oleh ahli keluarga mereka sendiri pada 2021, menurut laporan baharu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai pembunuhan wanita.
Laporan oleh Pejabat PBB mengenai Dadah, Jenayah dan Wanita PBB dikeluarkan menjelang Hari Antarabangsa untuk Menghapuskan Keganasan terhadap Wanita pada 25 November, lapor Agensi Anadolu.
Kira-kira 45,000 wanita dan kanak-kanak perempuan, atau 56 peratus daripada 81,000 mangsa dibunuh dengan sengaja oleh pasangan intim atau ahli keluarga lain di seluruh dunia tahun lalu, menurut laporan itu.
Laporan itu juga mendedahkan rumah bukan lagi tempat selamat untuk wanita dan kanak-kanak perempuan.
Angka-angka itu menunjukkan dalam tempoh sedekad lalu, jumlah keseluruhan kes pembunuhan wanita sebahagiannya kekal tidak berubah.
“Di sebalik setiap statistik pembunuhan, ada kisah seorang wanita atau gadis yang gagal diselamatkan. Kematian ini boleh dicegah,” kata Pengarah Eksekutif Wanita PBB, Sima Bahous.
Pengarah Eksekutif Pejabat PBB mengenai Dadah dan Jenayah, Ghada Waly, berkata tiada wanita atau gadis perlu hidup dalam ketakutan.
“Untuk menghentikan semua bentuk pembunuhan berkaitan jantina membabitkan wanita dan kanak-kanak perempuan, kita perlu mengambil kira setiap mangsa walau di mana sahaja dan meningkatkan pemahaman tentang risiko dan pencetus pembunuhan supaya kita boleh membentuk langkah pencegahan dan tindak balas keadilan jenayah yang lebih baik dan berkesan,” katanya. – Bernama