Wanita kena kompaun gagal dedah sejarah perjalanan

KUCHING, 26 JUN – Seorang wanita yang tiba di Miri baru-baru ini, dikompaun RM1,000 oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak semalam, kerana gagal memberikan maklumat yang tepat berhubung sejarah perjalanannya ke luar negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Datuk Douglas Uggah Embas berkata, wanita berkenaan yang pulang dari Tunisia, didapati tidak memberikan maklumat sebenar sewaktu mengisi borang pengisytiharan kesihatan, sewaktu ketibaannya.

“Tindakan selanjutnya akan diambil jika beliau gagal membayar kompaun itu dalam tempoh yang ditetapkan,” katanya pada sidang media harian jawatankuasa berkenaan di sini, hari ini.

Wanita itu dikatakan me-neruskan perjalanannya melalui udara dari Kuala Lumpur ke Miri tanpa menunggu keputusan ujian saringan COVID-19 yang dijalankan ke atasnya, dan sewaktu tiba, dia dianggap sebagai rakyat Sarawak yang baru pulang dari Kuala Lumpur dan tidak perlu dikuarantin ketika itu. – Bernama