Thursday, February 20, 2025
22.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Wanita lebih mudah ke syurga

    Oleh Normazlina M.D

     

    TUTONG, 27 Mei – Wanita lebih mudah masuk ke syurga jika mereka menunaikan hak dan tanggungjawab mereka sebagai seorang Muslimah dan juga sebagai seorang anak, isteri dan juga ibu.

    Ini kerana, peranan wanita lebih banyak membantu mereka berjihad ke jalan Allah lebih-lebih lagi apabila mereka menunaikan tanggungjawab mereka sebagai Muslimah yang diredai Allah.

    Dalam sama-sama meraih keberkatan Ramadan, wanita dan ahli keluarganya sama-sama mempunyai peranan yang penting. Pada bulan Ramadan, meraih pahala lebih mudah didapati oleh wanita setelah mereka menunaikan tanggungjawab dan peranan mereka.

    Perkara ini merupakan antara isi kandungan Forum Ramadan Dihatiku yang mengupas tajuk ‘Wanita, Keluarga dan Ramadan’ yang berlangsung di Masjid Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel, Kiudang, Tutong, kelmarin.

    Hadir selaku tetamu kehormat di majlis itu ialah isteri Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) di Kementerian Hal Ehwal Ugama, Hajah Azizah binti Haji Mohamad.

    Haji Mohd Khairul Nazif dan Haji Noor Husseini ketika menjadi ahli panel semasa forum itu.
    Hajah Azizah dan para Muslimah ketika mendengarkan forum tersebut di Masjid Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel, Kiudang.

    Ahli-ahli panel forum terdiri daripada pensyarah Fakulti Usuluddin, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Haji Mohd Khairul Nazif bin Haji Awang Damit dan Pegawai Latihan, Institut Perkhidmatan Awam, Haji Noor Husseini bin Haji Mohd Hussein. Forum dipengerusikan oleh tenaga pengajar Jabatan Pengajian Islam, Awang Mohd Norisham bin Haji Kamis.

    Forum juga menyentuh mengenai bagaimana wanita terlibat sama dalam pendidikan dan seterusnya menerangkan ciri-ciri wanita dalam membentuk keluarganya yang Sakinah, Mawaddah dan Warahmah.

    Dianjurkan oleh Pejabat Hal Ehwal Masjid Daerah Tutong dan dikendalikan oleh Jawatankuasa Takmir Masjid Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel, Kiudang, forum berkenaan bertujuan untuk memakmurkan masjid dalam bulan mulia dan juga memberikan pengajaran dan ilmu kepada para jemaah khususnya Muslimah melalui forum yang disampaikan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda