Wanita mati dibaham jerung putih

NEW YORK, 29 JULAI – Seorang wanita maut diserang seekor jerung putih, sesuatu yang jarang sekali berlaku, di luar pesisir pantai Maine di timur laut Amerika Syarikat (AS).

Pihak berkuasa Jabatan Marin Maine berkata wanita berusia 63 tahun itu diserang Isnin lalu ketika berenang berdekatan pulau Bailey, berhampiran Portland, bandar terbesar di negeri itu.

Ini adalah serangan jerung kedua direkodkan di Maine selama ini, di mana suhu air yang sejuk membuatkan orang ramai kurang gemar berenang di sini. Pihak berkuasa memaklumkan, mangsa dikenali sebagai Julie Dimperio Holowach, dari Bandar New York.

Menurut Ketua Jabatan Sumber Marin Maine, Patrick Keliher, mangsa memakai sut renang ketika tragedi itu berlaku dan beberapa pengayuh kayak membawanya ke pantai di mana pasukan perubatan mengesahkan kematiannya.

Sampel gigi yang ditemui di lokasi kejadian mengesahkan serangan dilakukan oleh jerung putih. Kehadiran jerung mula dikesan di beberapa kawasan pantai di timur laut AS sejak beberapa minggu kebelakangan ini terutama sekitar Long Island di New York. – AFP