Oleh Arissa
LIMBANG, 30 April – Seorang pemandu selamat, manakala isterinya yang duduk di bahagian penumpang maut dalam satu kemalangan yang membabitkan sebuah lagi kereta pacuan empat roda di kawasan Kampung Buluh Balui di kilometer 28 Jalan Batu Danau, semalam.
Dalam kemalangan jam 3:40 petang itu, pemandu kereta berkenaan Abdul Wahab Asmat 49, dari Kampung Limpaong mengalami kecederaan ringan, bagaimanapun isterinya Ria Ernawati warga Indonesia maut di tempat kejadian.
Dua lagi anak mereka seorang perempuan 13 tahun dan lelaki 10 tahun, yang duduk di bahagian belakang kereta hanya mengalami kecederaan ringan.
Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Mohd Bukhori Saffai berkata ketika kejadian kereta yang dipandu Abdul Wahab dalam perjalanan dari bandar Limbang menuju ke Tedungan.

“Sebaik tiba di kilometer 28, kereta yang dipandu Abdul Wahab hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan sebelum berlanggar dengan kereta pacuan empat roda yang datang dari arah Tedungan,” katanya kepada pihak media.
“Akibat perlanggaran itu isteri mangsa yang duduk di bahagian penumpang maut di tempat kejadian akibat rempuhan kuat,” katanya lagi.
Kes tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.