Wanita maut ditembak polis

WASHINGTON, 15 Mei – Seorang wanita maut selepas ditembak anggota polis Texas, di tempat letak kereta sebuah pangsapuri pada Isnin, lapor agensi berita Anadolu memetik beberapa laporan.

Video mengenai insiden itu dimuat naik dalam media sosial dan menimbulkan persoalan punca yang menyebabkan pegawai polis terbabit bertindak sedemikian.

Rakaman Snapchat itu menunjukkan wanita berkenaan menjerit mengatakan beliau hamil sebelum ditembak, namun berdasarkan laporan media tempatan perkara itu masih belum dapat dibuktikan.

Ketika kejadian pegawai itu sedang melakukan rondaan di Baytown, sebuah bandar di timur Houston dan menahan seorang wanita yang dikatakan mempunyai beberapa waran tangkap.

Bagaimanapun, polis Baytown tidak mendedahkan nama pegawai terbabit.

Insiden anggota polis menembak orang awam sering berlaku di Amerika Syarikat, setiap tahun sejak 2015 hampir 1,000 kes dilaporkan.

Menurut statistik oleh Washington Post, sehingga 2019, sekurang-kurangnya 323 orang di AS ditembak dan dibunuh oleh anggota polis. – Bernama