Wanita maut ditetak suami

KOTA KINABALU, 23 MAC – Seorang wanita maut selepas dipercayai dibunuh oleh suaminya di bilik sewa pasangan itu di bangunan Segama di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Mohd Zaidi Abdullah berkata suspek yang berusia 31 tahun itu menghubungi talian MERS999 pada jam 11:47 malam.

Beliau berkata suspek memaklumkan telah menetak isterinya dengan menggunakan senjata tajam sehingga tidak sedarkan diri dan mahu menyerah diri.

“Motif pembunuhan dipercayai kerana cemburu dan berlaku pertengkaran sebelum suspek menyerang isterinya yang berusia 23 tahun,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Mohd Zaidi berkata mayat mangsa telah diserahkan ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth bagi proses calitan COVID-19 dan bedah siasat. 

Beliau berkata suspek, yang juga merupakan pemegang pas IMM13 dan bekerja sebagai buruh binaan, akan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – Bernama