Oleh Yusrin Junaidi & Sim Y.H.
Gambar serahan PPDB
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 SEPT – Impak rempuhan kuat dua buah kenderaan mengakibatkan seorang wanita meninggal dunia dalam kemalangan awal pagi tadi di Jalan Lumapas, kawasan Bukit Saeh, Daerah Brunei dan Muara.
Wanita tempatan berusia 53 tahun itu mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala, tangan dan belakang badan, dengan empat mangsa kemalangan lain telah dikejarkan ke Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) bagi rawatan dan pemeriksaan lanjut serta dalam keadaan stabil.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) hari ini, pihak mereka masih menjalankan siasatan bagi mengetahui punca sebenar kemalangan dan kematian.
Terdahulu, menurut laporan diterima Balai Polis Kampong Ayer, mangsa merupakan salah seorang daripada penumpang salah sebuah kereta dan ahli paramedik juga mengesahkan bahawa mangsa yang ditemui tidak sedarkan diri itu meninggal dunia di tempat kejadian.
Polis menerima laporan melalui talian kecemasan pada 25 September jam 12:42 pagi mengenai kemalangan dua buah kenderaan. Implikasi kuat pertembungan dua buah kenderaan itu mengakibatkan mangsa-mangsa tersepit dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) dikerah mengeluarkan mangsa.
Menurut kenyataan dikeluarkan pihak JBP, 12 orang anggotanya dan tiga buah jentera dari Balai Bomba Sungai Kebun diketuai DSO Maidin bin Haji Idris, dikejarkan ke insiden kemalangan kereta itu.
Anggota JBP mendapati pertembungan melibatkan kereta jenis hatchback dengan empat orang mangsa tersepit di dalamnya, manakala sebuah lagi adalah kereta jenis sedan dan mangsa telah pun keluar dengan selamat.
Anggota JBP bertindak membuka pintu kereta bagi mengeluarkan mangsa dengan menggunakan alat perkakas khas. Sehubungan itu, PPDB menyeru pengguna jalan raya sentiasa menitikberatkan aspek keselamatan yang melibatkan kawalan had laju, pemakaian tali pinggang keselamatan, sentiasa peka dan bertolak ansur lebih-lebih lagi memandu sewaktu malam hari.