Wanita mengadu kelaparan, meninggal dunia

JAKARTA, 22 APRIL – Seorang ibu di provinsi Banten, Indonesia yang mengadu dua hari tidak makan, meninggal dunia sehari selepas ditemu bual sebuah stesen televisyen tempatan.

Kisah kesusahan keluarga Yuli Nuramelia, 43, bersama suami dan empat orang anak itu, yang terkesan teruk akibat dampak (kesan) ekonomi susulan pandemik COVID-19, disiarkan di YouTube KompasTV pada 19 April, sebelum dilaporkan meninggal dunia pada 20 April pukul 3 petang.

Kisah pilu Yuli dan keluarganya itu turut tular dalam media sosial di Indonesia, yang dilaporkan hanya meminum air kosong selama dua hari untuk kelangsungan hidup kerana tidak lagi mampu membeli makanan dan beras.

Bagaimanapun, Lurah (ketua kampung) Lontar Baru, Dedi Suradjat dipetik media tempatan, menolak dakwaan itu.

“Kalau penyebab kematiannya, saya belum tahu, tapi doktor bilang (memberitahu) bukan COVID-19. (Sebab lapar) saya kira bukan itu. Pihak puskesmas (pusat Kesihatan Masyarakat) bilang bukan (meninggal) kerana kelaparan,” katanya.

Sementara itu, berhubung dengan status terkini COVID-19, Indonesia telah mencatatkan sebanyak 18 lagi kematian dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah kematian kini meningkat kepada 635 kes.

Jurucakap Pemerintah Indonesia berkaitan COVID-19, Achmad Yurianto berkata bagi tempoh antara 12 tengah hari semalam hingga 12 tengah hari ini juga, terdapat sebanyak 283 jangkitan baharu menjadikan jumlah keseluruhan kes positif kini meningkat kepada 7,418.

“Sebanyak 17,754 pesakit masih dalam pengawasan virus COVID-19 di Indonesia,” katanya dalam sidang media harian yang disiarkan secara langsung di YouTube rasmi Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia.

Provinsi Jakarta mencatat kematian tertinggi iaitu sebanyak 301 kes diikuti Jawa Barat (71 kes), Jawa Timur (58), Jawa Tengah (52) dan selebihnya di wilayah- wilayah lain di Indonesia. – Bernama