PASIR SALAK, 31 Mei – Seorang ibu mengandung mengalami detik cemas apabila kayu bumbung di rumahnya hampir menghempap badannya dalam kejadian ribut di Taman Changkat Lada Raya, Seberang Perak, petang semalam.
Nurul Izzati Othaman, 25, berkata ketika kejadian dia berada di luar rumah sebelum melarikan diri ke dalam rumah selepas melihat angin kencang dan bumbung rumah seperti hendak tercabut dalam kejadian kira-kira 5.30 petang itu.
Izzati yang mengandung lima bulan berkata semasa kejadian, dia tinggal berseorangan di rumah manakala suaminya Azlan Ali, 25, sedang bekerja.
“Hujan lebat mula turun pukul 5 petang dan saya terkejut tiba-tiba angin kencang dan menerbangkan sebahagian bumbung rumah manakala kayu-kayu penahan bumbung jatuh ke arah saya.
“Nasib baik saya sempat mengelak dan segera masuk ke rumah. Ribut tersebut menyebabkan hampir kesemua perabot termasuk peralatan elektrik rosak kerana air hujan memenuhi kawasan bilik dan ruang tamu rumah,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di sini, hari ini.
Seorang lagi penduduk, Nor Fatihah Ikhwani, 19, berkata dia dan dua adiknya berasa cemas apabila hujan lebat diselangi guruh dan angin kencang tiba-tiba menerbangkan hampir kesemua bumbung rumah mereka. -Bernama