PARIT BUNTAR – Bukan mudah untuk mengalas jawatan sebagai seorang pengarah syarikat pada usia muda dalam bidang pembinaan dan dekorasi hiasan dalaman. Namun begitu, Nur Farah Hana Rosden, 25, memecahkan monopoli kaum lelaki dengan menceburi bidang berkenaan di daerah Kerian.
Malahan beliau bukan sahaja mampu mengekalkan perniagaan syarikat Rosden Enterprise yang diusahakan arwah ayahnya sejak 22 tahun lepas, malah kini melebarkan sayap perniagaan lebih luas dalam bidang dekorasi hiasan dalaman.
Menceritakan pengalamannya Nur Farah dari Taman Kerian berkata beliau terpaksa mengambil alih perniagaan syarikat Rosden Enterprise diusahakan arwah ayahnya, Rosden Sadokhatullah pada tahun 2013 tanpa sebarang persediaan.
Biarpun pernah diiktiraf sebagai pelajar wanita tunggal apabila mengikuti kursus pendawaian elektrik binaan di Akademi Binaan Malaysia (ABM) Sintok pada tahun 2011, Nur Farah Hana atau lebih dikenali Paah mengakui tidak pernah terfikir untuk menceburi bidang pembinaan secara langsung.
“Sebaik menamatkan kursus di ABM, saya berhijrah ke Kuala Lumpur untuk hidup berdikari. Sejak kecil, saya amat meminati bidang perniagaan dan sentiasa bertekad enggan bekerja makan gaji,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Pusat Bandar Fasa Dua, di sini baharu-baharu ini.

Ambil alih syarikat tanpa sebarang pengalaman
Paah, yang juga anak bongsu daripada empat adik beradik, berkata arwah bapanya seorang yang sangat tegas dan kurang mendedahkan mereka adik-beradik dalam bidang pembinaan kerana mahu mereka belajar hidup berdikari.
Beliau berkata selepas kesihatan arwah bapanya merosot akibat kanser pada tahun 2013, ibu Paah, Jamnah Mat Yusof, 63, memujuk beliau kembali ke kampung halaman bagi meneruskan bisnes perniagaan bapanya.
“Saat itu, saya berasa sangat takut dan bimbang kerana sejujurnya saya memang tidak mempunyai sebarang ilmu pengetahuan dalam bidang pembinaan di samping usia saya ketika itu 21 tahun dirasakan amat muda.
“Ditambah adik-beradik lain tidak didedahkan secara langsung dalam bisnes arwah ayah, saya hanya mampu bertawakal dan membulatkan tekad untuk memberi yang terbaik untuk meneruskan legasi perniagaan ayah,” katanya.
Ditipu dan peluang tender projek dirampas
Menceritakan selanjutnya Paah berkata setelah mengambil alih bisnes syarikat arwah bapanya, beliau mengakui bukan sahaja ditipu ribuan ringgit oleh segelintir rakan niaga arwah bapanya sendiri, malah ada kontraktor yang bekerjasama dengan bapanya bersikap ‘tikam belakang’ dengan merampas beberapa peluang tender projek kerajaan daripada syarikatnya.
Beliau terpaksa berdepan dengan keadaan itu dalam tempoh beberapa bulan, sebelum membulatkan tekad ‘berguru’ dengan beberapa tokoh kontraktor berbangsa Cina dari Pulau Pinang.
“Saya bulatkan tekad menebalkan muka untuk berjumpa seorang ‘tauke’ kontraktor utama berbangsa cina di Pulau Pinang demi menuntut ilmu.
“Syukur Alhamdulillah, ‘tauke’ berkenaan dan beberapa rakannya bukan sahaja membantu saya dengan ikhlas, malah turut mengajar tips-tips perniagaan yang amat bernilai,” katanya.
Permohonan pinjaman pernah dicampak
Paah juga tidak dapat melupakan pengalaman apabila fail permohonan pinjaman bank dikemukakan beliau dicampakkan ke lantai oleh seorang pegawai bank dengan alasan ‘permohonan tidak layak’ beberapa tahun lepas. “Ketika itu, saya berasa seperti pengemis yang terpaksa mengutip semula setiap dokumen bertaburan.
“Pada saat itu, saya bertekad untuk menjadi kontraktor wanita termuda pertama yang berjaya di daerah Kerian dan syukur setiap pengalaman pahit itu mendorong saya mencapai kejayaan,” katanya. Dalam tempoh beberapa tahun sahaja, syarikat Rosden Enterprise yang diusahakan Paah bukan sahaja meniti kejayaan dalam bidang pembinaan di daerah Kerian, malah kini menjadi buruan pelbagai bank tempatan bagi mengemukakan pinjaman kewangan.

Paah turut melaksanakan transformasi pada syarikat asal milik arwah bapanya apabila mewujudkan sebuah pejabat urusan, menggajikan lima kakitangan di samping menjenamakan semula nama syarikat kepada Rosden Building.
Transformasi, jenama semula Rosden Building
“Dahulu arwah ayah hanya menguruskan syarikat dari rumah, namun saya bertekad untuk mengusahakannya dengan lebih profesional, dibantu lima kakitangan yang komited. “Inisiatif penjenamaan semula nama syarikat kepada Rosden Building penting kerana syarikat saya mengembangkan perniagaan dengan melebarkan sayap perniagaan dalam bidang dekorasi hiasan dalaman,” katanya.
Paah turut cuba memecahkan kepompong kebergantungan kontraktor bumi-putera dalam tender projek kerajaan apabila kini menumpukan fokus dalam melaksanakan beberapa projek pembinaan swasta.
“Inisiatif saya menampakkan kejayaan apabila syarikat Rosden Building kini mendapat tawaran membina beberapa rumah banglo dan mampu milik termasuk sebuah rumah bernilai hampir RM1 juta di Kuala Lumpur.
“Kebanyakan pelanggan amat berpuas hati dengan pakej tawaran binaan rumah mampu milik bermula dengan harga RM69,999 di atas tanah sendiri memandangkan kami menampilkan seni rekabentuk terkini dengan mengambil inspirasi idea dari luar negara,” katanya.
Diiktiraf pakar
Paah berkata, syarikat Rosden Building juga diiktiraf sebagai satu daripada pakar dekorasi hiasan dalaman bukan sahaja di daerah Kerian, malah di utara semenanjung.
“Bayangkan dengan harga serendah RM20,000, pelanggan bakal ditawarkan pakej istimewa meliputi pemilihan lebih 2,000 rekabentuk terkini, menggabungkan elemen budaya luar dan tempatan.
“Menjelang tahun 2030, Rosden Building menyasarkan untuk memiliki sekurang-kurangnya sepuluh cawangan di seluruh Malaysia dan menjadi peneraju utama bidang dekorasi hiasan dalaman di negara ini,” katanya.
Di sebalik pelbagai kejayaan dikecapi ketika ini, Paah sentiasa berpijak di bumi yang nyata dan menggunakan tambahan rezeki diberi untuk disalurkan dalam pelbagai aktiviti kebajikan.
Beliau berkata golongan belia masa kini perlu menetapkan sasaran berjaya dalam hidup dan tidak boleh terkongkong dengan mentaliti bekerja makan gaji.
“Bagi saya, golongan belia mesti mempunyai tekad untuk berjaya dan jadikan cemuhan dan sindiran pihak tertentu sebagai motivasi untuk berjaya dan mengubah nasib kehidupan,” ujarnya. – Bernama