KARACHI, PAKISTAN, 11 FEB – Wanita-wanita Pakistan mengadakan perhimpunan kelmarin bagi mengutuk larangan yang dikenakan di wilayah berjiran India mengenai pemakaian hijab bagi wanita Muslim di sekolah.
Kira-kira 100 orang wanita turun ke jalan-jalan raya di bandar selatan Karachi dalam protes yang dianjurkan oleh parti politik Islamik Pakistan, Jamaat-e-Islami dan bandar di bahagian timur Lahore, puluhan wanita membakar patung Perdana Menteri India, Narendra Modi dan menuntut larangan pemakaian hijab dibatalkan.
Terdahulu, sebuah mahkamah di Karnataka, wilayah di Selatan India, memberitahu pelajar-pelajar tidak dibenarkan memakai sebarang pakaian keagamaan sehingga ia menerima keputusan petisyen meminta larangan memakai hijab ditarik semula. Petisyen itu difailkan oleh pelajar yang mencabar larangan itu, yang dilaksanakan di sebahagian sekolah baru-baru ini.
Isu itu menarik perhatian bulan lalu apabila sekolah yang diuruskan kerajaan di daerah Udupi, Karnataka melarang pelajar memakai hijab daripada memasuki kelas, mencetuskan bantahan di luar pagar sekolah. Lebih banyak sekolah di wilayah itu mengenakan larangan serupa, memaksa mahkamah tinggi wilayah untuk campur tangan.
Di negara majoriti Hindu India, di mana penganut Islam dicatatkan kira-kira 14 peratus daripada 1.4 bilion penduduk di India, tradisi hijab tidak dilarang atau disekat di tempat awam dan merupakan suatu perkara biasa. – AP