Wanita Palestin maut ditembak polis Israel

BAITULMAQDIS, 30 SEPT – Polis Israel menembak mati seorang wanita yang cuba menikam pegawai di kota lama Baitulmaqdis hari ini, kata polis.

Menurut kenyataan polis, penyerang itu cuba menikam polis di salah satu jalan menuju ke masjid Al-Aqsa, di mana wartawan AFP terdengar tembakan dan melihat mayat seorang wanita di tanah dan dibungkus dengan selimut.

“Polis Israel melepaskan tembakan ke arah penyerang, manakala pasukan perubatan tiba di tempat kejadian mengesahkan kematiannya,” kata polis, selain menjelaskan cubaan serangan itu tidak mengakibatkan korban jiwa.

Penyerang berusia 30 tahun itu, yang identitinya tidak dikenal pasti, meninggalkan pekarangan Al-Aqsa, ketika dia mendekati pegawai, kata polis.

Pasukan keselamatan Israel ditempatkan di setiap pintu masuk ke lokasi dikenali dalam kalangan orang Yahudi sebagai Temple Mount, tempat paling suci bagi penganut Yahudi.

Perkarangan masjid terletak di timur Baitulmaqdis, iaitu sektor bandar Palestin diduduki Israel pada 1967.

Lima warga Palestin terbunuh Ahad lalu, selepas serangan Israel di Tebing Barat mencetuskan pertempuran senjata dengan Hamas, kata pegawai. – AFP

Polis Israel memeriksa tempat berlakunya serangan tikaman di Bandar Lama Baitulmaqdis kelmarin. – AP