Wanita pecah amanah hampir setengah juta kena 5 tahun

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 SEPT – Seorang wanita tempatan berusia 41 tahun dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Majistret hari ini setelah perbicaraan membuktikannya bersalah kerana menyalahgunakan wang majikan berjumlah lebih $450,000.

Siti Rasimah binti Awang Taha memohon agar Hakim Pengiran Hajah Norismayanti binti Pengiran Haji Ismail meringankan hukuman disebabkan dia menjaga enam orang anak dan ibunya yang sudah tua.

Mahkamah tidak melihat sebarang rayuan hukuman ringan dibuat oleh tertuduh bahkan mendapati dia telah mencabar keputusan mahkamah dan memohon dibebaskan dengan ikat jamin. Mahkamah mengambil serius kesalahan pecah amanah yang dilakukan oleh tertuduh.

Menurut Timbalan Pendakwa Raya Dayangku Didi-Nuraza binti Pengiran Latiff, tertuduh merupakan pekerja di Comms Harris & Company sejak tahun 2000 hingga awal tahun 2014 dan sepanjang berkhidmat di syarikat tersebut dia dinaikkan pangkat sehinggalah menjawat jawatan sebagai ketua pembangunan perniagaan.

Hakim Pengiran Hajah Norismayanti juga menyatakan berdasarkan kepercayaan tinggi diberikan ke atasnya oleh majikannya, tertuduh telah menjadi penandatangan salah satu akaun syarikat dan bertanggungjawab dalam urusan kewangan syarikat.

Tertuduh, jelas hakim lagi telah menyalahgunakan kepercayaan tinggi yang diberikan kepadanya dengan menggelapkan banyak cek yang dilakukan sendiri atau melalui pihak ketiga yang tanpa sengaja membantunya dalam usaha jenayahnya.

Berdasarkan keseluruhan fakta dan keadaan kes tersebut dan menyimpulkan dana yang disalahgunakan itu digunakan untuk membiayai perbelanjaan peribadinya.

Pihak pendakwaan selanjutnya mendedahkan pecah amanah yang dilakukan tertuduh bermula Oktober 2009 hingga Mac 2013. Tertuduh menyalahgunakan wang daripada akaun syarikat sehingga habis. Mahkamah juga mengambil kira tertuduh tidak membuat pembayaran semula.

Atas pertuduhan pertama, tertuduh menggelapkan 50 cek syarikat dan berjumlah $158,543 termasuk satu pindahan bank berjumlah $2,280. Bagi pertuduhan kedua, tertuduh menyalahgunakan 55 cek syarikat berjumlah $236,387 dan tuduhan ketiga dua cek berjumlah $2,000 dan terakhir, di bawah pertuduhan keempat, tertuduh mengeluarkan 11 cek berjumlah $57,100. Tertuduh melakukan kesalahan tersebut dalam jangka masa lebih tiga tahun, melibatkan 118 transaksi berasingan berjumlah $454,030.

Mahkamah mempertimbangkan keadaan keluarga tertuduh yang masih mempunyai anak-anak kecil dan seorang ibu tua yang harus dijaga, namun, mahkamah mengatakan hukuman itu sedikit ringan jika dibandingkan dengan kesalahan yang dilakukan oleh tertuduh dengan fakta kesulitan keluarga adalah perkara biasa bagi tertuduh yang menerima hukuman tahanan.