Thursday, April 25, 2024
26.3 C
Brunei

    -

    Wanita perlu fahami beza Endometriosis dan PCOS

    KUALA LUMPUR –  Haid yang lewat, menyakitkan dan tidak teratur adalah simptom utama keadaan ginekologi seperti Endometriosis serta Sindrom Ovari Polikistik (PCOS), dan orang ramai harus dapat membezakan kedua-duanya untuk mengelakkan kebimbangan lanjut dalam kalangan pesakit kerana beberapa tanda mungkin bertindih.

    Para perunding Sunway Medical Centre Velocity (SMCV) berkongsi pandangan mereka mengenai apa yang membezakan kedua-dua keadaan itu, di samping pilihan rawatan serta langkah seterusnya bagi pesakit untuk memperoleh kehidupan yang lebih berkualiti.

    Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi SMCV Dr Farah Leong Rahman berkata PCOS adalah berkaitan dengan tahap hormon yang tidak normal dalam badan termasuk tahap insulin yang tinggi.

    “Antara beberapa simptom PCOS yang biasa ialah haid yang tidak kerap atau tidak teratur, berat badan bertambah, muka berminyak, rambut di tempat yang tidak diingini atau jerawat yang disebabkan oleh peningkatan pengeluaran hormon lelaki,” katanya dalam kenyataan oleh SMCV.

    Bagaimanapun menurutnya Endometriosis adalah keadaan apabila tisu yang melapisi rahim mula tumbuh di tempat lain seperti pada ovari, rahim, tiub fallopio, usus atau jarang-jarang sekali di paru-paru, dan simptom boleh berbeza-beza pada wanita, namun simptomnya termasuk haid yang menyakitkan, kesakitan semasa atau selepas hubungan seks atau sakit berterusan di bahagian bawah perut atau belakang.

    Wanita dengan PCOS atau endometriosis boleh hamil secara semulajadi, namun sesetengahnya mungkin memerlukan bantuan.

    “Bagi wanita PCOS yang mengalami haid tidak teratur atau tidak kerap, terdapat kekurangan ovulasi sekali gus menjadikan sukar untuk menentukan tempoh subur mereka.

    “Wanita dengan Endometriosis boleh mengalami anatomi pelvis yang herot, tisu parut di sekeliling ovari dan tiub fallopio, menjadikan persekitaran kurang kondusif untuk kehamilan,” jelas Dr Farah.

    Sementara itu, Perunding Obstetrik dan Ginekologi Dr Ashley Chung Soo Bee berkata dari segi kerentanan terhadap keadaan itu, Endometriosis biasanya memberi kesan kepada wanita semasa usia reproduktif mereka. Hasil penyelidikan menunjukkan bahawa genetik menjadi faktor yang membawa keadaan ini, dan dianggarkan 25 hingga 30 peratus wanita dengan PCOS mempunyai ibu atau adik perempuan dengan PCOS juga. Dengan sista Endometriosis ditemukan di dalam atau pada tiub fallopio, usus, atas, belakang atau sekitar rahim di kawasan antara faraj dan rektum, pendarahan seterusnya yang berlaku boleh menyebabkan kesakitan, keradangan, parut dan kemungkinan kerosakan organ.

    Dr Ashley berkata PCOS mungkin berbeza-beza bagi setiap wanita dengan sesetengahnya mengalami simptom yang lebih ringan dan yang lain mengalami yang lebih teruk.

    Dalam sesetengah keadaan, pesakit juga boleh mengalami kedua-dua keadaan pada masa yang sama, menjadikan amat penting bagi pesakit untuk mendapatkan nasihat perubatan yang betul bagi mencari dan menerima keseimbangan yang tepat dalam rawatan apabila melibatkan Endometriosis dan PCOS.

    Dalam kedua-dua keadaan, kedua-dua pakar itu menasihatkan langkah terbaik adalah untuk berbincang dengan perunding yang dipercayai yang boleh mengesyorkan ujian dan pemeriksaan yang boleh dilakukan untuk memastikan diagnosis yang betul. Daripada imbasan ultrasound pelvis sehingga ujian darah hormon untuk memeriksa status hormon pesakit dan rizab ovari, pesakit boleh memikirkan rawatan yang sesuai untuk terus menjalani kehidupan dengan keadaan berkenaan.

    Menurut Dr Farah, tiada penawar kekal bagi kedua-dua keadaan, namun rawatan untuk membantu mengurangkan gejalanya memang ada. -Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...