Wanita pertama Brazil positif COVID-19

BRASILLIA, 31 JULAI – Wanita pertama Brazil, Michelle Bolsonaro, disahkan positif COVID-19 semalam, selepas suaminya, Presiden Brazil, Jair Bolsonaro, menjalani kuarantin selama dua minggu.

Pengumuman itu dibuat lima hari selepas Bolsonaro memaklumkan disahkan negatif bagi virus itu dan kembali menjalankan tugas seperti biasa.

Menurut kenyataan pejabat presiden, Michelle Bolsonaro, 38, berada dalam keadaan baik dan akan mematuhi semua protokol sedia ada.

Bolsonaro, 65, dikritik hebat kerana caranya mengendalikan krisis COVID-19 dengan Brazil kini menjadi negara kedua paling terjejas akibat virus itu di dunia dengan 2,613,789 jangkitan dan 91,377 kematian setakat hari ini.

Beliau mengambil ubat ‘hydroxychloroquine’ sebagai rawatan untuk penyakit itu apabila beliau dijangkiti, meskipun pelbagai kajian mendapati ia tidak memberikan kesan terhadap COVID-19. – AFP

Wanita pertama Brazil Michelle Bolsonaro memakai penutup mulut dan hidung semasa satu acara di istana presiden di Brasilia, Brazil pada 29 Julai 2020. – AP