Wanita positif COVID-19 meninggal dunia

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 OKT – Satu lagi kes yang disahkan positif COVID-19 di Negara Brunei Darussalam telah meninggal dunia hari ini.

“Kes tersebut ialah seorang perempuan berumur 76 tahun yang telah mengalami masalah paru-paru setelah dijangkiti COVID-19 dan telah menerima rawatan di Unit Rawatan Intensif,” kongsi Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa sidang media di Kementerian Kesihatan, hari ini.

Sehubungan itu, jumlah keseluruhan kes yang meninggal dunia disebabkan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam adalah seramai 54 orang.

Di kesempatan itu, Yang Berhormat Menteri Kesihatan mewakili warga Kementerian Kesihatan dan keseluruhan rakyat Negara Brunei Darussalam mengucapkan takziah kepada keluarga kes berkenaan.

“Semoga roh kes dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama para solihin. Al-Fatihah,” ujar beliau.