Wanita selamat dalam insiden kebakaran kereta

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 OGOS – Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) terus menyarankan orang ramai untuk membuat penyelenggaraan berjadual bagi kenderaan mereka serta menasihatkan mereka untuk mempunyai alat pemadam api di dalam kereta.

JBP membuat saranan berkenaan dalam kenyataan yang dikeluarkan berikutan panggilan kecemasan insiden kebakaran kereta yang diterima pada pukul 7:20 pagi di Jalan Tunggulian, Sungai Liang, Daerah Belait pada 21 Ogos lalu.

Kenyataan menyatakan, dua buah jentera bomba dari Balai Bomba Sungai Liang dengan diketuai oleh ASO Jawawi bin Haji Sahari telah dikejarkan ke tempat kejadian di mana didapati kebakaran melibatkan keseluruhan bahagian hadapan sebuah kereta jenis hatchback.

Anggota bomba dan penyelamat bertindak memadamkan kebakaran menggunakan satu jet hos reel dan mengeluarkan satu aliran hos dengan air diperoleh daripada jentera bomba dan api dapat dikawal dalam masa dua minit.

Kenyataan menyatakan bahawa pemilik kenderaan ialah seorang wanita penduduk tetap Negara Brunei Darussalam yang telah keluar dengan selamat sebelum jentera bomba sampai serta tidak mendapat sebarang kecederaan.

JBP menyarankan kepada orang ramai untuk sentiasa memastikan pemasangan pendawaian bagi peralatan elektrik di kenderaan dilaksanakan oleh pekerja bengkel yang bertauliah supaya pendawaian dibuat itu adalah betul dan tidak mendatangkan bahaya kebakaran serta bagi kenderaan yang melebihi usia tujuh tahun ke atas dinasihatkan untuk membuat pemeriksaan di bengkel-bengkel yang mahir dan bertauliah.

Orang ramai turut disarankan bahawa jika berlaku sebarang insiden kecemasan, mereka hendaklah menghubungi terus talian kecemasan 995 dan memberikan maklumat yang tepat.

Kereta jenis hatchback yang mengalami kebakaran keseluruhan bahagian hadapan kereta dalam kejadian yang berlaku Jalan Tunggulian, Sungai Liang, Daerah Belait pada 21 Ogos lalu. – Gambar serahan JBP