Wanita selamat, dipatuk ular hijau

SYDNEY, 2 Jan – Seorang wanita muda telah dipatuk oleh seekor ular hijau liar di sebuah zoo di Australia, menurut paramedik hari ini, setahun selepas seorang penjaga diserang oleh seekor harimau di tempat tarikan pelancong popular yang sama itu.

Wanita itu, berusia pertengahan 20-an, menerima rawatan dari pihak paramedik di Australia Zoo, yang diasaskan oleh keluarga mendiang bintang ‘Crocodile Hunter’ Steve Irwan, dan telah dibawa ke hospital tempat dia dilaporkan dalam keadaan stabil, menurut seorang jurucakap Queensland Ambulance Service.

“Tengah hari ini seorang tetamu tanpa sengaja terpijak seekor ular liar di kawasan Wetlands kami,” Australia Zoo di Sunshine Coast, negeri Queensland berkata di halaman Facebook.

“Ular itu dikenal pasti sebagai ular pokok hijau yang lumrah muncul di kawasan tanah lembap (wetlands) kerana itu adalah persekitaran sesuai bagi makanan kegemarannya, katak.”

Pihak zoo itu menambah kata reptilia itu tidak beracun dan itu adalah kali pertama tetamu dipatuk oleh ular di sana.

“Gembira dimaklumkan yang tetamu dan ular itu dalam keadaan baik,” isteri Irwin, Terri menambah kata di Twitter.

Ular pokok hijau (Green Tree Snake) ditemui di rantau pantai dan separa pantai di utara dan timur Australia. Ia arboreal dan boleh membesar sehingga dua meter panjang.

Pada Januari tahun lalu, seorang penjaga Australia Zoo mengalami kecederaan di dahinya dan pergelangan tangan dan juga calar pada badannya selepas diserang oleh seekor harimau jantan Sumatra.

Bulan lalu, seorang lelaki berusia 77 tahun meninggal dunia seminggu selepas dipatuk di rumahnya di Queensland.– AFP