Wanita selamat, rumah dihempap pokok besar

Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan JBP

TEMBURONG, 8 SEPT – Sebuah rumah mengalami kerosakan pada bahagian atap dalam insiden pokok tumbang di Kampung Gadong Baru, Temburong, hari ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), di sini, hari ini, seramai 11 orang anggota dari Balai Bomba Bangar yang diketuai oleh SO Jamaludin bin Ahmad, telah dikejarkan ke tempat kejadian.

Kejadian itu menyaksikan sepohon pokok mangga berukuran kira-kira 30 meter dengan garis pusat berukuran kira-kira 60cm telah tumbang serta menghempap sebahagian atap rumah di kawasan dapur yang dimiliki oleh seorang wanita warga tempatan.

Anggota bomba dan penyelamat segera bertindak memotong pokok berkenaan menggunakan tiga buah gergaji dan seterusnya memasang kanvas di ruang atap yang terjejas.

Menurut bomba, tidak ada kecederaan dan kemalangan jiwa yang berlaku semasa kejadian.

Turut sama pada operasi itu ialah Pegawai Pemerintah Cawangan Operasi G, SSFR Haji Afiq bin Haji Julah.

Sehubungan itu, JBP menyarankan orang ramai untuk mengelak daripada menanam pokok terlalu dekat dengan rumah dan mengamalkan penjarakan bagi penanaman pokok-pokok berkenaan.

Pokok merupakan elemen yang penting bagi manusia dan haiwan tetapi ia boleh mendatangkan kemudaratan dan risiko kepada sekeliling seperti pokok tumbang boleh merebahi rumah semasa cuaca tidak menentu.

Pokok yang ditanam mestilah sentiasa dijaga, diawasi dan dipotong (trimming) sebelum keadaan tidak terkawal serta tidak meletakkan kereta mereka berdekatan dengan pokok-pokok besar kerana ditakuti berlaku perkara yang tidak diingini.

Pokok mangga besar yang menghempap rumah seorang wanita di Kampung Gadong Baru, Temburong. Wanita itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu.
Anggota bomba dan penyelamat bertindak memotong pokok yang tumbang menghempap atap rumah di bahagian dapur dalam kejadian yang berlaku di Kampung Gadong Baru, kelmarin.