Wanita Sibu mangsa terbaharu jangkitan rabies di Sarawak

KUALA LUMPUR, 22 OKT – Seorang wanita berusia 34 tahun dari Sibu, Sarawak, meninggal dunia pada Ahad lepas akibat dijangkiti wabak rabies, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, kes rabies terbaharu itu menjadikan jumlah kes bagi tahun ini adalah empat, manakala jumlah keseluruhan wabak rabies di Sarawak yang diisytiharkan pada 1 Julai 2017 hingga semalam sebanyak 26 kes.

“Mangsa dimasukkan ke Hospital Sibu pada 12 Oktober kerana mengalami lemah pada kedua-dua belah kaki sejak lima hari sebelum dimasukkan ke wad.

“Mangsa meninggal dunia pada 18 Oktober pukul 11:30 pagi dengan didiagnosis rabies ensefalitis dan disahkan dijangkiti virus rabies melalui ujian makmal yang dijalankan oleh Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) pada 19 Oktober. KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata siasatan mendapati kawasan kediaman mangsa terletak berdekatan dengan tapak pelupusan sampah dan terdapat banyak anjing liar berkeliaran.

Katanya, mangsa pernah digigit oleh anjing peliharaannya pada hujung tahun 2018 namun tidak mendapatkan rawatan di mana-mana kemudahan kesihatan dan anjing tersebut bebas bercampur dengan haiwan lain serta tidak pernah diberi suntikan vaksin anti-rabies.

Beliau berkata anjing itu dibunuh oleh orang awam susulan kejadian menggigit seorang lagi individu, namun tiada sampel dihantar ke Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak bagi ujian pengesahan jangkitan rabies pada anjing terbabit. – Bernama